Melawat ke ladang bunga lavender merupakan salah satu impian saya sejak dahulu lagi. Hampir dua puluh tahun yang lalu, saya turut mengimpikan untuk mengambil gambar perkahwinan di ladang bunga lavender di Australia tetapi rezeki tidak menyebelahi. Walaupun rumah saya terletak tidak jauh dari ladang bunga lavender, tetapi saya belum pernah jejakkan kaki sehinggalah pada 8 September 2023. Ladang yang berdekatan dengan rumah saya ini dinamakan Lavenderland. Sebenarnya saya datang ketika musim sudah berakhir, maka saya tidak perlu bayar tiket masuk. Berakhirnya musim bunga ini tidak bermaksud saya tidak dapat melihat keindahannya. Terdapat beberapa kawasan kecil yang masih banyak bunganya. Bukan ingin memuji diri sendiri, tetapi hakikatnya saya boleh mencari sudut-sudut yang menarik untuk rakamkan gambar dengan bunga-bunga.





Gambar di atas ialah berlatar belakangkan ladang yang sudah tidak ada bunga dan terdapat sebuah rumah mewah yang saya mengagak mungkin penghuninya ialah pemilik perniagaan ladang ini juga. Seperkara lagi, saya baru mengetahui yang bunga lavender juga mempunyai beberapa jenis yang berbeza.









Selepas puas mengambil gambar dan video, saya beralih pula ke taman rekreasi yang terletak di sebelah dengan dengan ladang dan sempat juga saya berehat seketika sebelum pulang. Pemilik ladang ini juga mengambil peluang menyewa kawasan di sini kepada sesiapa yang berminat untuk meraikan sebarang majlis terutamanya majlis perkahwinan. Saya juga dapat melihat dari dekat dua buah kereta antik seperti kereta ‘Cinderella’. Melalui laman web Lavenderland, anda boleh juga melihat beberapa gambar cantik sewaktu majlis perkahwinan yang berlangsung di sini.
https://lavenderland.ca/pages/private-events#weddings







Seperkara yang menarik ialah, Lavenderland ada menjual produk bunga lavender seperti minyak wangi, sabun, syampu, pewangi rumah, teh, sirap dan bermacam-macam lagi. Di satu sudut yang lain saya dapat melihat kaunter menjual ais krim perisa lavender. Bagi saya pula, cukup sekadar membeli sabun (bath bomb) untuk dibawa pulang.













Seperti yang saya nyatakan awal tadi, berakhirnya musim bunga tidak bermaksud pengunjung tidak boleh datang ke sini. Kedai cenderamata masih dibuka dan kilang serta bengkel untuk membuat sabun masih beroperasi. Saya tetap gembira dan berpuas hati kerana saya datang pada pagi hari bekerja dan dapat mengambil gambar dan video tanpa perlu risau atau berebut dengan pengunjung lain. Bukanlah ia bererti langsung tiada pengunjung pada pagi itu, cuma hanya ada sebilangan sahaja. Jika tidak silap, saya luangkan masa lebih kurang tiga jam kerana saya betul-betul menikmati keadaan sekeliling dan juga taman rekreasi.
