Saya mengikuti perkembangan mengenai pencerobohan Rusia terhadap Ukrain setiap hari. Tidak ada apa yang tidak menyedihkan termasuklah apabila saya mengetahui tentang kapal terbang terbesar di dunia musnah akibat dari serangan. Saya sebagai seorang yang pernah bekerja di dalam dunia penerbangan (dan mereka yang masih bekerja di dalam dunia penerbangan) amat merasai kesedihan lebih dari orang lain. Apatah lagi saya sendiri pernah melihat dari dekat ‘gergasi udara’ ini.
Antonov AN-225 juga dikenali dengan nama Mriya. Di dalam bahasa Ukrain, Mriya bermaksud “dream“. Warna kapal terbang ini ialah putih berserta jalur warna bendera negara Ukrain iaitu kuning dan biru. Mriya bukan sahaja kapal terbang terbesar di dunia tetapi juga beratnya yang tidak boleh ditandingi oleh kapal terbang lain sehingga ke hari ini. Sekiranya anda tidak pernah melihat kapal terbang enam enjin, maka anda boleh melihat gambar-gambar yang saya kongiskan di bawah.
Mriya terbang dari Republik Czech dan mendarat di Lapangan Terbang Perth, Australia Barat pada 16 Mei 2016 dengan membawa penjana kuasa (power generator) seberat 117 tan untuk syarikat perlombongan di Australia Barat. Inilah yang dinamakan rezeki kerana pada minggu itu secara kebetulan saya pulang sebentar ke Australia. Maka dapatlah saya melihat kapal terbang terbesar di dunia dalam jarak kurang dari 100 meter. Mriya tiba pada sebelah pagi tetapi saya datang melawat pada sebelah tengah hari.
Harap maaf kerana kualiti gambar tidak memuaskan. Maklumlah pada waktu itu kualiti kamera telefon tidak sebagus seperti kamera telefon sekarang. Selain itu, cuaca mendung dan berawan sepanjang hari turut membuatkan gambar bertambah teruk. Walau bagaimanapun saya telah terangkan sedikit gambar-gambar ini. (edit)
Sekali lagi nasib baik menyebelahi saya. Di dalam hari yang sama saya berada di Lapangan Terbang Perth, saya juga turut dapat melihat dari dekat kapal terbang yang membawa kumpulan rock terkenal Iron Maiden. Kapal terbang B747 berwarna hitam putih itu diletakkan sebaris dan tidak jauh dengan Mriya Antonov AN-225.
Pengalaman melihat dua buah kapal terbang yang agak jarang dilihat oleh orang ramai merupakan salah satu kenangan yang tidak dapat saya lupakan. Video Mriya telah disiarkan di saluran You Tube saya https://youtu.be/UVE4IIzRFl0