Skip to content

Kali ke-3 Menembak Di Las Vegas

Tidak perlu lagi dihuraikan dengan kata-kata betapa gembiranya saya apabila dapat kembali semula ke The Gun Store buat kali ketiga! Sewaktu datang ke Las Vegas pada bulan lalu, acara menembak tidak ada di dalam perancangan saya dan suami. Ianya adalah perancangan last minute.

Kali pertama kami datang ke sini ialah pada tahun 2012 dan kali kedua pula pada tahun 2015. Kedua-dua artikel terdahulu boleh anda baca di laman blog lama saya. Alamat artikel seperti di bawah ini;
2012
http://sharery.blogspot.com/2012/08/pertama-kali-menembak.html
2015
https://sharery.blogspot.com/2015/05/keseronokan-menembak-di-gun-store-las.html

Kami telah memilih pakej yang sama seperti sebelum ini dan membuat pembayaran secara online di laman web rasmi The Gun Store satu malam sebelumnya. Pakej itu berharga $99.99 dan ia merangkumi alat perlindungan mata dan telinga, 3 jenis senjata api iaitu MP5, AR-15, Glock 19, baju-t percuma dan beberapa lagi kelebihan lain.

Pada tahun 2012, saya telah mengambil pakej wanita di mana senjatanya berwarna merah jambu. Nampaknya kali ini pakej itu sudah tidak menawarkan baju-t percuma. Jika tahun-tahun sebelum ini pakej kami hanya merangkumi dua jenis senjata api, tetapi kali ini ditambah lagi kepada tiga senjata api. Anda boleh ke https://thegunstorelasvegas.com/package/ untuk melihat pelbagai pakej yang ditawarkan.

Apabila tiba di The Gun Store, kami terkejut kerana banyak perubahan di luar dan di dalam kedai terutamanya dari segi susun atur perabut serta tempat jualan senjata api. Di satu sudut lain, saya kagum melihat ruang rehat atau ruang menunggu yang dikhaskan kepada pelawat. Ia tidak pernah dilihat sewaktu kedatangan saya sebelum ini.

Terdapat mesin layan diri (perlu dibayar) yang menjual makanan dan minuman ringan. Untuk minuman panas, ia adalah percuma. Mesin membancuh kopi ada diletakkan di atas meja. Ruang rehat ini sangat berguna terutamanya bagi pelawat yang menemani keluarga atau sahabat mereka yang dijadualkan untuk menembak.

Tanpa berlengah, kami terus membuat pendaftaran dan disuruh mengambil peralatan perlindungan mata dan telinga lalu mengikut pengajar ke bilik menembak.

Pengajar kami pada hari itu sangat peramah. Beliau ialah pembantu pengurus The Gun Store. Saya pernah melihat beliau sewaktu kedatangan sebelum ini tetapi pada waktu itu beliau tidak mengajar kami. Tidak dinafikan, cara layanan serta cara mereka mengendalikan pelawat yang datang menembak berbeza mengikut latar belakang masing-masing. Saya dapat melihat perbezaan itu setelah kali ketiga kedatangan ke sini. Jika sebelum ini mesra biasa, tetapi pada kali ini terus bertambah-tambah lagi mesranya.

Saya tidak bermaksud mereka sombong atau memilih warna kulit. Jangan salah ertikan kata saya ini. Walaupun semua tenaga pengajar berbadan besar tetapi mereka semua baik belaka. Apa yang saya maksudkan ialah cara mereka agak berbeza dalam mengendalikan mereka yang baharu pertama kali hendak mencuba. Aktiviti menembak ini walaupun menyeronokkan tetapi sangat merbahaya. Pihak The Gun Store akan membuat photocopy kad pengenalan atau pasport setiap pelawat yang datang termasuk saya dan suami. Pihak pengurusan akan menyimpan untuk dijadikan bukti sekiranya ada perkara yang tidak diingini berlaku.

Justeru, kerana itulah cara pengajar mengendalikan saya dan suami tidak sama dengan orang lain kerana kami sudah ada pengalaman menembak tambahan pula ia dilakukan di The Gun Store sebelum ini. Pengajar juga tahu yang suami berpengalaman dan pernah dilatih sebagai angkatan tentera di Singapura. Walaupun pengajar tidak melihat cara tembakan saya pada tahun 2012 dan 2015, tetapi melalui tembakan tahun 2022 beliau tahu yang saya yakin serta boleh menggunakan senjata api. Beliau juga memuji cara tembakan saya.

Saya sendiri akui yang cara tembakan saya pada bulan lalu semakin baik berbanding tembakan saya yang terdahulu. Tembakan tahun 2015 baik berbanding tembakan tahun 2012, dan tembakan tahun 2022 lebih baik berbanding dari tembakan tahun 2015. Di dalam artikel akan datang saya akan tunjukkan dengan anda perbezaan hasil tembakan saya itu.

Artikel kali ini saya kongsikan dengan anda banyak gambar. Manakala video pula akan saya siarkan di saluran You Tube tidak lama lagi. Saya akan bahagikan dan akan muat naik video kepada dua playlist berbeza iaitu di dalam Travels dan Shery NN Berbicara Yang ke-55.

Sekiranya anda berminat untuk menembak, jangan teragak-agak untuk memilih The Gun Store. Layanan setiap petugas sangat baik dari kali pertama kami datang. Jika anda lihat gambar saya berdua dengan suami di bawah ini, ia dirakamkan oleh seorang petugas wanita. Beliau bukan sahaja menguruskan pelbagai tugasan, malah beliau juga bertanggungjawab dalam mengendalikan media sosial The Gun Store. Kerana itulah beliau pandai mengambil gambar kami dan juga pelawat yang lain.

Jika diizinkan, saya dan suami akan datang lagi ke The Gun Store untuk kali keempat. Begitu juga yang diharapkan oleh pengajar kami. Beliau berkata sebegitu sebelum kami bersurai.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *