Dickey’s Barbecue Pit merupakan restoran bbq bercawangan yang berpengkalan di Dallas, Texas. Perniagaan ini bermula pada tahun 1941 dan sehingga ke hari ini telah mempunyai ratusan cawangan. Tidak ada restoran dan menu halal di seluruh cawangan Dickey’s di USA tetapi yang ingin saya ceritakan di sini ialah cawangan pertama dan tunggal di Kanada yang 100% menunya halal.
Dickey’s Barbecue Pit di Edmonton, Alberta baharu sahaja menjalankan perniagaan beberapa bulan lalu. Tepukan harus diberikan kepada pemilik cawangan ini yang bernama Muhammed Hussain. Anda boleh baca artikel mengenainya di sini. https://edmonton.ctvnews.ca/texas-style-barbecue-restaurant-to-open-canada-s-first-location-in-edmonton-1.5865705
Oleh kerana restoran ini ialah bercawangan, maka menunya perlu diseragamkan. Akan tetapi di Dickey’s Barbecue Pit Edmonton, pihak pengurusan tidak menyajikan sebarang daging babi. Saya dan suami memesan pakej yang sama iaitu Competition Plate (Brisket and Brisket Burnt Ends) tetapi makanan sampingan (sides) kami berbeza berserta dengan kepak ayam yang sosnya boleh dipilih.
Saya berpeluang melihat pekerja yang sedang menghiris daging. Hiris bukan sebarang hiris kerana ia mempunyai teknik dan perlu ditimbang sebelum dihidangkan di atas talam. Jika dilihat dari gambar, memang nampak hidangannya seperti sedikit, tetapi percayalah bahawa ia sangat berbaloi dan mengenyangkan.