Pelakon drama bersiri Full House iaitu Bob Saget telah meninggal dunia pada 9 Januari yang lalu. Mungkin pemergian beliau tidak terkesan sekiranya seseorang itu tidak pernah menonton drama bersiri itu. Tetapi bagi saya pula, pemergian beliau dapat dirasai. Sewaktu saya kecil dahulu, saya ialah peminat setia drama bersiri Full House. Setiap hari apabila pulang dari sekolah, saya sentiasa teruja untuk menontonnya.
Oleh kerana peminat setia, saya tidak mahu melepaskan peluang untuk pergi melawat ke rumah yang menjadi ikon untuk drama bersiri Full House semasa pertama kali saya menjejakkan kaki ke San Francisco pada tahun 2012. Lokasi pertama yang dituju ialah Alamo Square Park di mana adegan para pelakon duduk berkelah di atas padang di hadapan barisan rumah yang diberi nama painted ladies disiarkan pada minit awal pembukaan sebelum drama bermula.
Lokasi kedua pula ialah rumah keluarga Tanner. Walaupun lokasi di dalam rumah hanyalah studio tetapi bangunan yang ditunjukkan di luar memang rumah yang benar wujud. Sukar untuk digambarkan dengan kata-kata apabila saya akhirnya dapat berdiri di hadapan yang saya selalu tengok di kaca tv sewaktu saya kecil.
Rumah ini boleh dilawati dengan hanya mengambil gambar dari luar. Sila hormati pemilik rumah ini dan jangan menaiki tangga kerana ia telah pun dihalang dengan tali. Tempat untuk meletak kenderaan juga agak terhad, justeru anda perlu berhati-hati agar tidak meletakkan kenderaan di tempat larangan. Alamat rumah ini ialah 1709 Broderick St.
Melalui artikel yang saya baca, rumah ini telah dibeli oleh Jeff Franklin pada tahun 2016 dengan harga $4 juta. Beliau ialah pencipta kepada drama bersiri Full House yang juga produser dan pengarah terkenal.