Skip to content

Kembali Berjumpa Pakar Kaunseling (Bahagian 1)

Kali terakhir saya berjumpa dengan pakar kaunseling ialah pada bulan Februari 2020 iaitu sebelum bermulanya pandemik. Sebenarnya saya tidak memerlukan pakar kaunseling selama dua tahun ini, akan tetapi di dalam waktu yang sama saya memerlukan beliau hanya untuk memberi perkhabaran gembira dan ingin memberi update. Pusat kaunseling ditutup sepanjang pandemik tetapi mereka bertugas dari rumah. Saya tidak berminat membuat temu janji secara atas talian (telefon atau panggilan video), apatah lagi ia bukannya perkara kecemasan. Oleh itu saya terpaksa menunggu selama dua tahun sehingga pakar kembali bertugas di pejabat.

Pada bulan Januari yang lalu pakar kaunseling telah memberitahu saya bahawa beliau akan mula bertugas di pejabat setiap hari Rabu bermula bulan Februari. Oleh kerana jadual saya agak padat pada bulan lalu, maka saya memilih tarikh 2 Mac untuk kembali bertemu dengan beliau. Saya telah membuat temu janji satu bulan lebih awal. Di sepanjang satu bulan sebelum temu janji, saya berasa tidak sabar dan begitu teruja sekali. Saya juga turut sediakan nota supaya senang saya ceritakan dengan beliau apa yang terjadi terhadap diri saya (dari segi banyak pencapaian peribadi) serta perjalanan untuk kembali memulihkan kesihatan mental dari tahun 2020 sehingga ke hari ini.

Di dalam perjalanan ke pejabat kaunseling yang terletak tidak jauh dari rumah saya

Sepanjang 50 minit sesi kaunseling, saya kongsikan juga dengan beliau tentang bagaimana ‘lahirnya’ https://sheryonthemove.com/ . Sebelum laman sesawang dilancarkan pada hari ulang tahun perkahwinan saya yang ke-12, hanya suami dan juru gambar sahaja yang mengetahuinya. Juru gambar itu merupakan sahabat saya yang menetap di Vancouver tetapi berasal dari Korea Selatan. Saya juga ceritakan kepada beliau tentang bagaimana wujudnya ruangan Shery NN Berbicara https://youtube.com/playlist?list=PLtOctsN3c09ERt3tGsrq4-pX48uoMhJbu .Pujian patut diberikan kepada mereka yang berhak menerimanya. Saya ceritakan kepada beliau tentang vlogger Salekhan yang menjadi idola saya untuk memperbaiki diri agak dapat menjadi vlogger yang berkeyakinan.

Pakar kaunseling kegemaran saya sangat-sangat terkejut, gembira dan berbangga dengan perubahan diri saya. Beliau betul-betul tidak menyangka yang saya datang dalam keadaan sihat. Maklumlah, pandemik membuatkan ramai orang tidak sihat mental dan fizikal. tetapi terjadi sebaliknya kepada diri saya. Perubahan ketara yang beliau nampak ialah dari segi percakapan saya.

Sepanjang beberapa kali temu janji dengan beliau yang bermula dari 2019 (sebelum saya mendapat rawatan dari doktor pakar) sehingga sebelum pandemik tahun Februari 2020, saya akui yang saya bercakap dengan beliau dalam keadaan lemah, tidak berkeyakinan dan kerap menangis. Minggu lalu saya jelaskan dengan beliau dalam nada gurauan bahawa apa yang beliau nampak sebelum pandemik itu ialah diri saya dari bahagian gelap (dark side). Diri saya yang beliau lihat pada Mac 2022 ialah diri saya yang sebenarnya sudah kembali pulih.

Di pejabat kaunseling sebelum masuk ke bilik pakar

Artikel ini akan bersambung ke bahagian dua tidak lama lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *