Saya tahu mengenai kedai kopi hipster ini setelah melihat sahabat saya, Jihan yang telah pergi beberapa kali. Beliau pernah berkata kepada saya yang beliau ingin mengajak saya datang minum sekiranya saya berada di Las Vegas. Nampaknya hajat beliau telah kesampaian.
Saya dan suami datang bertemu dengan Jihan dan adiknya, Siti pada hari Rabu 23 Mac 2022, iaitu hari mereka tidak bekerja. Mujurlah mereka datang lebih awal dari kami dan dapat mencari tempat duduk. Kedai ini sentiasa dipenuhi dengan pelanggan.
Kedai kopi ini diberi nama Gabi Coffee & Bakery. Melihat dari konsep kedai, saya memang tidak terperanjat pemiliknya orang Asia apatah lagi ia terletak di Las Vegas. Jika di Australia, kedai-kedai sebegini senang dilihat sama ada pemiliknya orang Asia atau ‘orang putih’. Australia terkenal dengan ‘coffee culture’. Justeru, sebaik sahaja saya masuk ke dalam Gabi Coffee & Bakery, terus datang rindu saya terhadap Australia.
Antara minuman, makanan dan manisan yang kami nikmati ialah, Sea Salt Iced Coffee, Iced Honeydew Lattee, Iced Red Bean, Salmon Brioche, Nutella Crepe Cake dan Ube Crepe Cake. Ube dalam bahasa Tagalog ialah keladi ungu.
Minuman yang saya dan suami pilih ialah Honeydew Latte. Gabungan rasa buah dan kopi sama seimbang. Pendek kata, semuanya sedap! Dua potong kek juga sangat memuaskan hati kerana tidak terlalu manis.
Air kosong berserta tisu, cawan, sudu dan garfu plastic diletakkan di satu sudut yang lain. Anda boleh lihat melalui gambar di bawah ini. Dekorasi dan perabut di dalam kedai begitu casual. Pelanggan juga boleh memilih untuk duduk bersila di tempat yang dikhaskan. Walaupun berkonsep hipster, namun masih dapat dilihat ciri-ciri kedai yang pemiliknya orang Korea melalui bingkai gambar di dinding. Sewaktu berada di dalam kedai, saya teruja menghantar gambar-gambar dan video kepada sahabat saya, pemuda dari Korea yang menetap di Vancouver.
Sekiranya anda datang ke sini, tandas wajib dilawati. Tandas wanita sebilik dan tandas lelaki diasingkan bilik lain. Selain bersih, di dalamnya anda boleh pelajari bahasa Korea. Ada suara rakaman yang diputarkan menyebut beberapa bahasa itu. Saya tidak pasti sama ada ia diputarkan di tandas wanita. Pada hari itu, saya masuk menggunakan tandas lelaki kerana tidak tahan menunggu lama tandas wanita yang digunakan oleh pelanggan lain,
Video mengenai Gabi Coffee&Bakery akan saya siarkan di dalam saluran You Tube tidak lama lagi. Saya akan bahagikan video kepada dua playlist berbeza iaitu Hood Hunting dan Shery NN Berbicara. Saya sarankan anda subscribe saluran You Tube saya dan sila aktifkan notifikasi. https://www.youtube.com/c/SheryNN