Skip to content

Resorts World Genting Di Las Vegas

Kali terakhir saya ke Genting Highlands, Pahang, Malaysia ialah pada tahun 2008 atau 2009. Kini, setelah 13 atau 14 tahun kemudian, saya kembali semula ke Genting Highlands di Las Vegas, Nevada, USA.

Secara peribadi, saya berbangga apabila melihat dari dekat bangunan Resorts World Genting yang tersergam di Las Vegas. Malah, jalan raya untuk datang ke Resorts World juga diberi nama Goh Tong Way. Mendiang Lim Goh Tong ialah pengasas pusat hiburan di Genting Highlands, Pahang, Malaysia. Saya dan suami datang awal iaitu sekitar jam 10:30 pagi. Kami meletakkan kenderaan di bangunan bertentangan di mana di situ memang dikhaskan untuk meletakkan kenderaan secara percuma. Berjalan kaki dari bangunan meletak kereta ke bangunan utama hanya mengambil masa 5 minit. Pengunjung akan berjalan kaki mengikut laluan yang ditetapkan. Ia seolah seperti kita berjalan di dalam taman di Asia.

Apabila masuk sahaja di dalam bangunan, terus saya berkata di dalam hati “hmmm bau kedai”. Memang Resorts World ini baharu juga pembukaannya. Saya dan suami datang sekadar untuk mengambil gambar. Tedapat food court di dalam kasino di mana ia menjual makanan dari pelbagai negara dari Asia contohnya dan semestinya dari Malaysia, Singapura, Filipina, China dan banyak lagi. Bendera setiap negara diletakkan di hadapan kedai. Gerai menjual minuman bubble tea juga ada di sini. Ia diberi nama Tiger Sugar. Ingin saya ingatkan, tidak ada gerai yang menjual makanan halal.

Seperti yang saya katakan tadi, anda boleh datang sekadar untuk bergambar tetapi tidak digalakkan makan di sini kerana melalui pelbagai maklum balas yang saya dengar dari penduduk Las Vegas yang berasal dari Malaysia dan Singapura, makanan yang dijual tidak sedap dan mahal. Kebanyakan yang memasak makanan ini juga bukanlah orang Malaysia.

Sekiranya anda ingin menjamu selera dengan makanan halal dari Malaysia, anda boleh kunjungi restoran Island Malaysian Cuisine http://islandmalaysiancuisine.com/ . Saya dan suami kerap datang ke restoran ini setiap kali datang ke Las Vegas.

Sekadar maklumat tambahan, pengunjung boleh memesan dan membuat pembayaran makanan melalui mesin layan diri. Saya kongsikan gambar di bawah sewaktu suami saya konon-konon sedang berlakon memesan makanan. Tandas awam yang terletak bersebelahan dengan food court sangat bersih. Mungkin juga kerana kami sampai awal iaitu sebelum perniagaan bermula.

Ada satu tempat yang saya sukai di dalam bangunan ini ialah kedai Starbucks. Walaupun saya dan suami tidak membeli sebarang pembelian di situ, tetapi kami berkeinginan untuk datang semula ke sini . Persekitaran dalaman kedai sangat selesa dan tidak kecoh membuatkan kami ingin datang hanya sekadar duduk, minum dan melepak.

Untuk rujukan anda, saya juga letakkan gambar bangunan untuk meletak kenderaan percuma. Sila lihat gambar dua paling bawah.

Video akan saya kongsikan di saluran You Tube tidak lama lagi. Saya sarankan anda subscribe saluran You Tube saya dan sila aktifkan notifikasi. https://www.youtube.com/c/SheryNN



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *