Pada hari Sabtu bersamaan 26 Mac 2022, saya dan suami meneruskan pemanduan ke negeri seterusnya iaitu Utah. Mengikut perancangan malam sebelumnya, kami ingin bertolak dari hotel di Las Vegas sebelum jam 5:00 pagi. Tetapi akibat terlalu letih, kami terlupa mengunci jam. Selepas bangun tidur, kami tidak kelam kabut kerana pemanduan pada hari Sabtu itu sangat flexible. Kami tidak mengejar masa atau mempunyai temu janji lain. Setelah bersiap, kami bertolak lebih kurang jam 5:45 pagi.
Pemanduan berjalan tanpa sebarang masalah. Cuaca pada hari itu berawan, sejuk di sebelah pagi dan panas pada tengah hari. Lebuh raya ini merupakan yang biasa kami gunakan untuk ke Salt Lake CIty atau dari Salt Lake City ke Las Vegas. Di bawah ini saya kongsikan salah satu artikel lama yang pernah disiarkan mengenai pemanduan dari Las Vegas ke Salt Lake City. Cuaca ketika pemanduan pada tahun itu sangat baik dan terang benderang kerana musim panas.
http://sharery.blogspot.com/2018/01/pemanduan-dari-las-vegas-ke-salt-lake.html
Walaupun sudah banyak kali menggunakan laluan dan lebuh raya yang sama, tetapi inilah pertama kali pemanduan dibuat pada bulan Mac dan awal musim bunga. Pemandangan sedikit berbeza kerana kami masih dapat melihat banyak gunung-ganang yang diselaputi salji. Ia adalah pemandangan yang sedap mata memandang.
Sepanjang lebih kurang tujuh jam pemanduan, kami hanya membuat tiga persinggahan. Yang pertama kami membeli minuman pagi, kedua berhenti untuk mengisi minyak kereta, dan yang ketiga ialah ke Great Salt Lake State Park. Artikel mengenai persinggahan ketiga ini akan saya siarkan satu hari selepas dari artikel ini.