Skip to content

Pemanduan Dari Estevan Ke Ross, USA

Selepas sarapan pagi di hotel https://sheryonthemove.com/?p=2078, kami memulakan pemanduan menuju ke Ross, North Dakota, Amerika Syarikat (AS). Walaupun di dalam gambar anda lihat cuacanya terang benderang tetapi suhunya masih rendah serta angin kuat. Ini merupakan pertama kali kami memasuki sempadan antarabangsa Saskatchewan/North Dakota. Jarak dari hotel di Estevan ke North Portal iaitu pekan kecil terakhir sebelum sempadan ialah 38 kilometer.

Sebelum ini kami sudah beberapa kali memandu di Saskatchewan dan jujur saya katakan, pemanduan sangat membosankan kerana majoriti kiri dan kanan lebuh raya hanya terbentang ladang dan ditambah lagi dengan keadaan jalan raya yang tidak sebagus di AS. Jadi apabila melakukan pemanduan menuju ke sempadan pada pagi itu, kami menjangkakan pemanduan pasti membosankan tetapi tanggapan kami salah.

Sebaik sahaja meninggalkan Estevan, kami rasakan seperti sudah berada di AS kerana jalan raya ke sempadan semakin cantik. Selain ladang, pemandangan di kiri dan kanan yang jelas dilihat ialah kesibukan industri perlombongan arang batu dan minyak. Kami tahu tentang industri perlombongan ini tetapi tidak menyangka kawasan perlombongannya sangat besar. Patutlah tetamu hotel majoritinya ialah mereka yang bekerja dengan industri tersebut.

Ada satu perkara yang saya pelajari dari suami saya sewaktu pemanduan iaitu beliau menjelaskan bagaimana industri perlombongan banyak membantu dalam memulihkan semula alam sekitar. Biasanya selepas berakhirnya projek penggalian, mereka akan menimbuskan semula lubang, menanam semula rumput dan pokok, membuat tasik atau paya dan sekaligus haiwan penternak boleh kembali ke kawasan itu. Kepada mereka yang anti perlombogan, mereka patut belajar dan lihat dengan mata sendiri dari jarak dekat akan usaha murni dari syarikat perlombongan ini bukan sahaja di Kanada tetapi di kebanyakan negara lain.

Pada mulanya saya terfikir, bagaimana Saskatchewan yang satu negeri/province nya bertanah rata dan ladang boleh terdapat banyak bukit yang berwarna hijau? Memang benarlah penjelasan suami saya itu. Yang berbukit-bukit kecil beralun seperti di dalam cerita kartun teletubbies ini ialah kesan dari tanah pemulihan. Anda juga dapat lihat melalui gambar-gambar yang saya rakamkan di bawah dan di dalam video yang disiarkan di saluran You Tube Shery On The Move.

Sempadan antarabangsa di kawasan kampung ini tidak sibuk. Majoriti yang keluar masuk di antara kedua buah negara ialah kenderaan berat/komersil sahaja. Kami juga tidak mempunyai masalah sewaktu merentasi sempadan. Lorong bagi kenderaan persendirian dan kenderaan berat turut diasingkan.

Sebaik sahaja tiba di pekan kecil pertama selepas sempadan, kami berhenti di hadapan pejabat pos untuk mengambil gambar. Akhirnya kami kembali semula ke negeri North Dakota setelah tujuh tahun tidak datang ke negeri ini. Dari Portal, pemanduan diteruskan menuju ke Ross dengan jarak pemanduan 92 kilometer. Walaupun pemadangan masih lagi ladang di kiri dan kanan tetapi tidak begitu membosankan kerana ini pertama kali kami ingin ke Ross dengan menggunakan jalan kampung.

Apa istimewanya Ross, North Dakota? Saya akan siarkan artikel mengenainya selepas ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *