10 Jun 2022
Kembara hari kelima masih lagi di negeri Michigan. Pada sebelah pagi saya dan suami memandu dari Detroit ke Lansing. Lansing merupakan ibu negeri bagi negeri Michigan. Artikel mengenai lawatan saya ke Lansing boleh anda baca melalui link ini. https://sheryonthemove.com/?p=2930
Dari Lansing, kami memandu pula ke Ypsilanti yang jarak antara kedua bandar ini ialah 122 km. Tujuan kami ke Ypsilanti hanyalah satu sebab sahaja iaitu ingin melawat ke kedai Domino’s Pizza pertama di dunia.
Pada tahun 1960, Tom Monaghan dan abangnya James telah mengambil alih perniagaan kedai pizza DomiNick’s yang dimiliki oleh Dominick DeVarti di 507 West Cross St, Ypsilanti, Michigan. Tom telah meminjam wang sebanyak $900 untuk membeli kedai itu. Bangunan asal DomiNick’s masih ada di Ypsilanti tetapi sekarang bangunannya telah bertukar wajah dan tidak ada lagi nombor kedai 507. Kedai di barisan itu telah bertukar nombor iaitu 501, 505 dan 513.
Beberapa tahun kemudian, kedua beradik ini telah memindahkan kedai pizza mereka di 301 West Cross St di mana kedai ini lebih besar dan pada tahun 1965 namanya telah ditukarkan kepada Domino’s Pizza. Pada waktu itu, bangunan ini bercantum dengan sebuah rumah (Victorian house). Kini, rumah itu sudah tidak ada tetapi bahagian depan kedai masih tidak berubah seperti yang lama terutama tingkap dan pintu kedai.
Kami tidak pergi ke bangunan lama DomiNick’s tetapi terus ke bangunan atau bekas kedai Domino’s Pizza pertama seperti saya saya nyatakan di atas tadi. Walaupun Domino’s Pizza tidak lagi beroperasi di bangunan ini tetapi masih ada perniagaan lain yang mengambil alih iaitu Got Burger!
Ibu pejabat Domino’s Pizza terletak di Ann Arbor, Michigan. Pemanduan kami dari Lansing ke Ypsilanti memang melalui bandar ini tetapi kami tidak membuat persinggahan.
Saya telah rakamkan video sewaktu melawat ke kedai Domino’s Pizza pertama di dunia dan dimuat naik di saluran You Tube Shery On The Move beberapa minggu lalu. Anda boleh tonton melalui link yang saya letakkan di sini. https://youtu.be/EiSe2aq_Xeg