10 Jun 2022
Hari ke-5 kembara berkereta USA bulan Jun 2022 masih lagi di negeri Michigan. Saya dan suami bermalam di Tru by Hilton Sterling Heights Detroit
https://sheryonthemove.com/?p=2906 dan pada hari ini kami akan mengadakan day trip sahaja kerana kami akan pulang bermalam di hotel yang sama.
Pemanduan pada pagi itu ialah menuju ke ibu negeri Michigan iaitu Lansing. Ia terletak 147 km dari hotel penginapan kami. Jarak dari pusat bandar Detroit pula ialah 164 km. Cuaca di sepanjang pemanduan juga agak baik, panas tetapi berangin.
Sudah menjadi kewajipan saya dan suami untuk melawat di setiap ibu negeri dan bergambar di hadapan bangunan perundangan negeri (state capitol building) di negara ini. Kedatangan sebelum ibu negeri Michigan ialah kami ke St. Paul iaitu ibu negeri Minnesota pada bulan Mei 2022. Artikelnya saya letakkan di sini. https://sheryonthemove.com/?p=2359
Dua perkara yang saya selalu ambil kira untuk menentukan sama ada saya suka dengan bangunan perundangan negeri (dari sudut dan pandangan pelawat) ialah dari segi seni bina bangunan dan bagaimana mudahnya untuk pelawat meletakkan kenderaan di kawasan berdekatan. Michigan State Capitol nampaknya memang menarik perhatian saya. Kami hanya meletakkan kereta di seberang bangunan sahaja.
Bangunan yang kami lawati ini merupakan bangunan perundangan negeri ketiga bagi Michigan. Bangunan pertama dan kedua telah musnah akibat dari kebakaran. Sejarahnya telah diceritakan di salah sebuah papan tanda yang diletakkan di luar bagunan.
Sewaktu pemanduan kami untuk keluar dari bandar Lansing menuju ke destinasi seterusnya, kami telah memandu di jalan raya yang bernama W Malcolm X St dan E Malcolm X St. Gambarnya saya muat naik di bahagian paling bawah artikel ini.