Skip to content

Mom’s Spaghetti-Restoran Penyanyi Eminem

Gambar penyanyi Eminem yang anda lihat di bawah ini merupakan gambar pertama yang saya nampak di Instagram yang menceritakan beliau datang membuat kejutan pada hari pertama perasmian Mom’s Spaghetti. Pada hari perasmian itu juga bergegas saya nyatakan hasrat kepada suami untuk datang ke Detroit untuk melawat ke restoran beliau.

Sewaktu saya beritahu kepada suami, saya belum lagi melihat menu Mom’s Spaghetti. Saya membayangkan satu hari nanti kami datang hanya untuk bergambar di luar kedai sahaja. Tanpa disangka rupanya ada spaghetti yang boleh dimakan. Maka, keinginan untuk ke Mom’s Spaghetti makin meninggi tambahan pula saya belum pernah datang ke Detroit.

Kami datang lebih kurang 30 minit selepas restoran dibuka dan terus berbaris untuk memesan makanan. Waktu itu sudah ada beberapa pelanggan di hadapan kami. Sama ada pesanan untuk dibawa pulang atau makan di situ, semua pelanggan perlu memesan melalui tingkap di luar seperti gambar Eminem di atas tadi.

Oleh kerana kami ingin pergi makan malam di restoran Thai, maka kami hanya memesan satu spaghetti sahaja. Anda boleh lihat menunya yang ringkas seperti gambar di bawah. Terdapat sedikit penambahan menu pada hari kami datang berbanding pada hari perasmian. Sekali lagi, sila rujuk perbandingan melalui tingkap Eminem berdiri dan tingkap sewaktu suami saya berdiri.

Mujurlah kami memesan satu spaghetti sahaja kerana saiznya sangat besar! Memang berbaloi dengan harganya iaitu $12. Restoran Mom’s Spaghetti bercantum dengan sebuah restoran lain. Pelanggan boleh makan di tingkat bawah atau di tingkat atas. Meja-mejanya tidak terlalu sedikit dan tidak terlalu banyak. Untuk melihat gambaran yang jelas saiz restoran ini, sila tonton video ruangan Shery NN Berbicara yang ke-61. Linknya saya letakkan di sini. https://youtu.be/vyi7L7bTSEA

Di atas spaghetti diletakkan sekeping roti dan bebola daging pula jika tidak silap saya ada 8 biji. Daging yang dimaksudkan bukan dari daging lembu tetapi daging sayuran (vegan ball). Kepada mereka yang bukan peminat spaghetti atau bukan seorang yang kuat makan, saya sarankan anda kongsikan satu spaghetti sahaja dengan pasangan anda. Sebenarnya saya boleh habiskan keseluruhannya tetapi seperti yang saya katakan tadi, saya dan suami akan pergi makan malam dalam beberapa jam selepas itu.

Di tepi meja makan kami terdapat sebuah bilik. Pada awalnya saya berasa hairan kerana ada beberapa pelanggan yang keluar masuk ke bilik itu. Selepas makan, saya terus masuk untuk mengetahui apa yang ada di dalamnya. Jika ia adalah bilik larangan atau saya dihalau, sekurang-kurangnya saya tahu apa yang ingin diketahui.

Alangkah terkejutnya saya apabila melihat bilik itu sebenarnya menjual pelbagai barang-barangan dari Eminem! Bilik itu dinamakan The Trailer. Saya pernah katakan pada suami ‘alangkah bagusnya jika Mom’s Spaghetti ada menjual cenderamata contohnya t-shirt‘. Rupa-rupanya memang ada dijual di situ. Tentunya hati melonjak gembira dan tanpa berfikir panjang terus saya mengambil t-shirt dan beberapa pelekat dari Mom’s Spaghetti.

Sewaktu suami hendak membuat pembayaran, saya bertanya satu soalan kepada juru jual. Saya bertanya kepada beliau, ‘berapa kerap Eminem pernah datang ke Mom’s Spaghetti?’. Beliau menjawab setakat ini Eminem sudah datang sebanyak empat kali. Jawapan itu sekali lagi memeranjatkan saya. Mom’s Spaghetti memulakan perniagaan pada penghujung bulan September 2021 dan kedatangan saya pula pada Jun 2022. Saya tidak menyangka yang Eminem telah datang sebanyak empat kali dalam tempoh sembilan bulan. Sebagai artis antarabangsa yang sentiasa sibuk, saya kagum kerana Eminem kerap pulang ke kampung halamannya.

Kata juru jual itu lagi, Eminem tidak pernah beritahu kepada para pekerja yang beliau akan datang. Kedatangan beliau selalunya mengejut. Juru jual itu belum pernah lagi berjumpa dengan Eminem kerana beliau baharu lagi bekerja di situ. Rakan di sebelahnya (sewaktu perbualan kami) bekerja lebih lama dari beliau, juga tidak bernasib baik kerana tidak pernah lagi berjumpa dengan Eminem. Sila rujuk gambar sewaktu suami saya hendak membuat pembayaran dan anda dapat lihat juru jual berbaju kuning yang menjawab soalan saya, mana kala rakannya yang sedikit senior berdiri lebih tinggi di tepi beliau.

Baharu beberapa hari lepas saya ada membaca satu artikel mengenai restoran Mom’s Spaghetti yang ditulis oleh seorang wartawan dari New York. Beliau menyatakan bahawa timbunan kertas di atas meja pembayaran (kedai cenderamata) adalah kertas-kertas hasil lirik-lirik yang pernah ditulis oleh Eminem. Saya lihat dari dekat kertas-kertas itu malangnya saya tidak rakamkan gambarnya tetapi saya ada rakamkan videonya.

Sila lihat dua gambar ruang makan di atas ini. Anda boleh lihat ada dua buah mesin permainan (retro arcade machine). Saya baharu ketahui bahawa Eminem sejak dari kecil memang gemar membaca buku komik dan sebelum menjadi penyanyi dan cintanya terhadap dunia nyanyian, beliau bercita-cita untuk menjadi artis buku komik. Melalui maklumat yang saya terima, beliau ada membeli beberapa retro arcade machine yang berharga $16 000.

Kini saya baharu perasan kegemaran beliau dengan komik ada kaitan juga dengan banyak klip video beliau begitu juga di dalam kedai cenderamata di Mom’s Spaghetti. Sila perhatikan barang-barangan yang dipamerkan melalui gambar-gambar di bawah ini.

Dua gambar di bawah ini ialah timbunan kertas-kertas lirik yang saya ceritakan di atas tadi. Gambarnya tidak jelas kerana saya telah membuat ‘print screen‘. Untuk melihat video keseluruhan yang lebih jelas, sila tonton video yang saya siarkan di saluran You Tube Shery On The Move.
https://youtu.be/vyi7L7bTSEA

Jika anda membuat carian dari google, anda boleh lihat Eminem berdiri di dalam kedai cenderamata dan di tempat yang sama juga saya berdiri sambil memegang beberapa helai t-shirt. InsyaAllah, jika ada peluang, kami mahu kembali ke Mom’s Spaghetti dan andai rezeki menyebelahi, mungkin kami akan berjumpa secara tidak sengaja dengan Eminem.

Setelah pulang, entah mengapa saya masih tidak percaya yang Eminem sudah datang ke Mom’s Spaghetti sebanyak empat kali. Maklumlah artis terkenal biasanya menetap di New York atau Los Angeles. Tetapi lama kelamaan saya teringat yang anak perempuan Eminem masih menetap di Detroit. Mungkin kerana itulah beliau kerap pulang. Saya juga ada menonton satu video di You Tube mengatakan yang beliau pernah membeli rumah besar di Detroit (mansion) tetapi telah menjualkan nya. Saya pasti sekarang ini beliau tetap mempunyai rumah di Detroit walaupun mungkin jarang ada di bandar itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *