Skip to content

Melawat Ke 8 Mile Rd – Filem Eminem

10 Jun 2022
Saya mengetahui 8 Mile Rd apabila filem lakonan Eminem ditayangkan di pawagam pada tahun 2002. Saya tahu filem itu mengisahkan kehidupan beliau yang membesar di Detroit, Michigan. Pada waktu dahulu saya tidak begitu meneliti secara mendalam lirik lagunya cuma saya meminati rentak muzik di setiap lagu sejak dari album pertama. Apa yang saya tahu lagu-lagu yang dicipta oleh Eminem adalah berdasarkan kehidupan beliau sendiri. Di usia saya sekarang ini, baharu saya meneliti dengan terperinci lirik-lagu itu sekaligus membuatkan saya kagum dan seolah-olah saya sudah mengenali beliau dengan lebih dekat lagi.

Saya memang sudah lama teringin untuk datang ke Detroit atas banyak sebab. Lagi kerap saya dengar yang bandar Detroit tidak selamat, lagi itulah saya ingin menjejakkan kaki ke sana. Apabila saya dan suami datang ke Detroit pada bulan Jun 2022, kami tidak melepaskan peluang untuk ke 8 Mile Rd.

Satu maklumat berharga yang saya perolehi dari suami sewaktu kami berada di Michigan dan sebelum pergi ke 8 Mile Rd ialah, jalan ini sebenarnya menjadi tanda pemisah atau sempadan budaya bagi kawasan perumahan penduduk kulit putih di bahagian utara yang rata-ratanya orang berada dan kawasan perumahan penduduk kulit hitam di bahagian selatan yang majoritinya orang miskin. Apabila kami memandu dari pusat bandar Detroit menuju ke 8 Mile Rd dan seterusnya ke utara, ya memang benar kami nampak perubahannya.

Filem 8 Mile Rd banyak menceritakan tentang kisah sebenar kehidupan Eminem yang membesar berdekatan dengan jalan itu. Bukan sahaja filem, tetapi beberapa lagu beliau turut menceritakan mengenai 8 Mile Rd dan klip videonya sekali dirakamkan di sana. Paling terkini ialah apabila beberapa hari lalu (Julai 2022) saya menonton klip video baharu Eminem dan Snoop Dog dengan lagu bertajuk From The D2 The LBC. Di dalam klip video kartun itu terdapat watak seekor haiwan yang sedang makan spaghetti. Kotak dan logonya sama seperti Mom’s Spaghetti iaitu restoran Eminem yang telah saya lawati. Gambaran bandar Detroit dan 8 Mile Rd turut dimuatkan di dalam video itu.

Mungkin ramai yang tidak perasan akan kotak spaghetti dan nama jalan di dalam klip video itu, tetapi mata saya pun agak tajam melihatnya tambahan pula saya sudah pun ke 8 Mile Rd dan Mom’s Spaghetti. Link sewaktu saya makan spaghetti di Mom’s Spaghetti boleh anda baca di sini. https://sheryonthemove.com/?p=3021

Panjang jalan 8 Mile Rd dianggarkan ialah 33.4 kilometer. Kami tidak memandu di sepanjang jalan itu kerana kesempitan waktu tetapi dapat juga kami bergambar di hadapan salah satu papan tandanya. Walaupun kami sudah ke 8 Mile Rd, tetapi kami tidak sempat melawat ke tempat -tempat utama penggambaran filem itu. InsyaAllah kami akan datang lagi 8 Mile Rd dan Detroit secara keseluruhannya untuk rakamkan lebih banyak gambar dan video.

Untuk pengetahuan anda, saya dan suami kerap melawat ke lokasi penggambaran drama, filem dan muzik video Hollywood seperti Full House, Mrs. Doubtfire, The Charmed Ones, Sister Act, Once Upon The Time dan banyak lagi. Sekiranya anda ingin membaca artikel mengenainya, sila ke http://www.sharery.blogspot.com dan gunakan kata carian nama-nama drama dan filem tersebut.

Photo Courtesy Of Wikipedia

Di bawah ini ialah gambar-gambar dari klip video lagu baharu Eminem dan Snoop Dog seperti yang saya ceritakan di atas tadi. Ia saya ambil dari You Tube Eminem Music. Tahukah anda mengapa banyak klip video Eminem berunsurkan komik? Anda akan ketahui jawapannya melalui artikel saya sebelum ini. https://sheryonthemove.com/?p=3021

Photo courtesy of You Tube EminemMusic
Photo courtesy of You Tube EminemMusic
Photo courtesy of You Tube EminemMusic
Photo courtesy of You Tube EminemMusic

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *