15 Jun 2022
Pemanduan hari ke-10 kembara USA (road trip) bulan Jun 2022 ialah dari Peoria, Illinois ke Lincoln, Nebraska. Jarak antara kedua buah bandar yang dikira dari hotel saya menginap di Peoria sehingga ke hotel di Lincoln ialah 731 kilometer. Pemanduan ini juga melibatkan tiga buah negeri iaitu Illinois Iowa dan Nebraska. Di negeri Iowa saya telah singgah di hentian trak terbesar di dunia yang terletak di Walcott. Anda boleh baca artikel mengenainya melalui link di bawah ini.
https://sheryonthemove.com/?p=3288
Di sepanjang pemanduan merentasi negeri Iowa, saya dapat lihat kereta dan jentera bomba yang berhenti di jejantas lebuh raya di setiap bandar kecil yang kami tempuh. Saya cuba mencari maklumat di internet tetapi tidak dapat apa yang dikehendaki. Saya dan suami membuat andaian mungkin ada anggota bomba berpangkat tinggi yang bersara pada hari itu dan beliau akan memandu di sepanjang lebuh raya. Maka kerana itulah anggota bomba di setiap bandar kecil menunggu untuk memberi penghormatan di atas lebuh raya itu.
Saya telah rakamkan lima gambar jejantas dari bandar berbeza dan dimuat naik di dalam artikel ini. Walaupun hanya lima gambar sahaja yang dirakamkan tetapi sebenarnya anggota dan jentera bomba yang kami lihat lebih dari lima buah bandar berbeza.
95 kilometer atau lebih kurang satu jam pemanduan sebelum tiba di Lincoln, saya telah singgah di Omaha untuk berjumpa dengan sahabat baharu yang saya kenali melalui You Tube. Beliau yang saya maksudkan ialah pemuda yang berasal dari Taiping, Perak, Malaysia yang baharu menetap di Omaha setelah berkahwin dengan wanita tempatan yang bernama Sam.
Pada sebelah petang, kami telah berjumpa di kafe Pappa Roti dan hidangan yang kami pilih ialah roti kopi, sandwic dan sup. Saya dan suami turut berikan Jai dan Sam buah tangan yang kami bawa dari Vancouver, Kanada. Di dalam video ruangan Shery NN Berbicara yang ke-65, saya telah kongsikan video kembara hari ke-10 yang bermula dari Peoria, Illinois sehingga saya berjumpa dengan Jai. Anda dapat lihat dengan lebih dekat lagi buah tangan yang saya bawa untuk mereka dan saya turut berikan rumusan mengenai Pappa Roti. Selain itu saya turut ceritakan bagaimana saya boleh terjumpa saluran You Tube beliau.
Sila tonton video penuh di saluran You Tube Shery On The Move melalui link di bawah ini.
https://youtu.be/VbEEeSySXH4
Cuaca pada keseluruhan hari ke-10 pemanduan adalah sangat panas. Suhu di ketiga-tiga buah negeri ialah di dalam lingkungan 35⁰-38⁰ darjah Celsius. Tidak dinafikan cuaca sebegini membuatkan saya tidak selesa. Suhu sebegini jarang saya alami di Vancouver, Kanada. Yang hairannya, saya tidak kusah dengan suhu 40⁰C ke atas di Las Vegas kerana tahap humidnya berbeza dari humid di bahagian tengah Amerika.