19 Jun 2022
Pemanduan hari ke-14 ialah hari terakhir kembara USA bulan Jun 2022. Ia bermula dari Great Falls, Montana dan berakhir di Edmonton, Alberta, Kanada.
Pada awal pagi di Great Falls, saya terasa begitu nyaman dan cuaca juga dingin. Suhu pada waktu itu paling rendah jika hendak dibandingkan dengan suhu pada hari-hari lain sewaktu kembara sepanjang 14 hari pada bulan itu. Ia seolah-olah memanggil saya pulang ke rumah kerana suhu sebegitu selalu dialami di Vancouver pada awal pagi
Jika pemanduan dilakukan tanpa henti, masa pemanduan ialah 7 jam 35 minit dengan jarak 798 kilometer. Tetapi pemanduan kami lebih lama sedikit daripada itu kerana kami telah membuat persinggahan di sebuah pusat membeli belah di Calgary, Alberta.
Sewaktu berada di sempadan Kanada, saya dipilih secara rawak untuk melakukan ujian covid. Saya telah menerima satu kotak barangan ujian dan perlu lakukan dalam tempoh 24 jam selepas penerimaan kotak itu.
Melalui gambar di bawah anda dapat lihat sewaktu di Calgary awan sudah sangat gelap. Sebaik sahaja kami menyambung pemanduan, hujan turun dengan lebatnya. Masuk sahaja ke sempadan bandar Edmonton, cuaca berubah sama sekali kerana tidak hujan dan jalan raya juga kering.
Selepas daftar masuk hotel, saya bergegas melakukan ujian Covid di dalam bilik sambil melakukan panggilan video dengan petugas yang wajib memberikan arahan kepada saya dari langkah pertama sehingga langkah terakhir. Barang ujian itu telah dibungkus semula dan saya serahkan kepada penyambut tetamu hotel sebelum syarikat penghantaran (courier) datang mengambilnya.
Tiga gambar terakhir yang saya kongsikan di sini dirakamkan dari tingkap bilik hotel pada jam 10:04 malam. Oleh kerana musim bunga dan musim panas siang harinya sangat panjang, serta ditambah pula Edmonton terletak antara bandar paling utara Kanada, dan sudah mulai dekat dengan Kutub Utara maka kerana itulah pada jam 10:04 malam, matahari masih belum terbenam dan belum lagi masuk waktu sembahyang Maghrib.
Saya tidak kongsikan gambar hotel di Edmonton kerana hotel ini telah saya menginap pada tahun 2020 dan telah siarkan artikel mengenainya. Anda boleh baca artikel mengenai hotel ini melalui link ini. https://sharery.blogspot.com/2020/10/hampton-inn-suites-by-hilton.html
Saya telah perolehi keputusan ujian covid hampir seminggu selepas itu. Dan keputusannya ialah negatif.