12 Julai 2022
Artikel ini bersambung dari bahagian satu. Sila baca dahulu artikel pertama melalui link di bawah ini sebelum anda menyambung bacaan artikel kedua ini.
https://sheryonthemove.com/?p=4328. Selepas melawat ke kilang keju Tillamook, saya dan suami menyambung pemanduan yang bakal menerujakan saya iaitu memandu di perairan pantai Lautan Pasifik. Saya sangat menyukai dan merindui lautan besar, persisir pantai berserta bunyi deruan ombak ia mendamaikan mendamaikan.
Jika diberi pilihan untuk bercuti di kawasan pergunungan atau kawasan pantai, tentunya saya akan memilih kawasan pantai atau pulau. Di Vancouver, Kanada mempunyai keistimewaan juga kerana mempunyai gunung, pantai dan pulau dalam satu bandar tetapi pantainya tidak begitu menarik perhatian saya kerana ia pantai berteluk, kualiti air yang tidak bersih dan tidak mempunyai ombak seperti lautan pantai yang besar.
Berbalik kepada pemanduan hari kedua ini, kami berhenti di beberapa tempat yang cantik pemandangannya dan sesuai untuk mengambil gambar pemandangan. Antaranya ialah di Winema Wayfinding Point Neskowin, D River State Recreation Site, Lincoln City, Depoe Bay dan beberapa tempat lain. Oleh kerana saya begitu teruja dan seronok, sewaktu di D River State Recreation Site, hanya saya yang buka kasut dan berjalan di tepi pantai semata-mata untuk mengenakan kaki dengan air laut dan ombak. Suami saya hanya berdiri di tepi tebing dari arah jauh sahaja.
Terdapat banyak papan tanda tunjuk arah di mana tempat-tempat yang dikhaskan di tepi jalan untuk memberhentikan kenderaan bagi memudahkan pelancong mengambil gambar pemandangan. Jadi saya nasihatkan supaya anda tidak meletakkan kenderaan di tempat yang tidak dibenarkan.
Sebenarnya pemanduan ini boleh mengambil masa satu atau dua hari sekiranya ingin berhenti di semua perkampungan dan bandar kecil serta tempat tarikan pelancong termasuk juga jika pelancong itu ingin makan di restoran atau minum di mana-mana kafe. Bagi saya dan suami, kami hanya berhenti untuk mengambil gambar sahaja dan tidak makan atau minum di sana.
Satu papan tanda yang menarik perhatian saya sewaktu memandu di Newport ialah ia menunjukkan arah ke Boston, Massachusetts dengan jarak 3,365 batu iaitu bersamaan dengan 5,415 kilometer. Dalam erti kata lain, jalan raya itu yang menghubungkan terus Newport (barat) ke Boston (timur).
Mengikut anggaran kiraan, pemanduan dari hotel menuju ke Tillamook, kemudian dari Tillamook ke Newport dan seterusnya pulang ke hotel ialah lebih kurang 430 kilometer. Jika ditambah dengan pemanduan di sekitar Tillamook, Corvallis (melawat rumah lama sahabat kami) dan Tualatin (makan malam) maka jumlah pemanduan sudah melebihi dari 430 kilometer.
Saya mempunyai perancangan untuk kembali semula memandu di perairan pantai ini dan bermalam di salah sebuah hotel yang menghadap laut sempena hari ulang tahun perkahwinan saya dan suami pada 25 September. Nampaknya waktu dan keadaan tidak mengizinkan kerana kami tidak dapat ke sana. Pada hari ulang tahun perkahwinan, kami hanya raikan di Seattle, Washington.
Video lawatan saya ke kilang keju, sewaktu pemanduan dan semasa saya berjalan-jalan di tepi pantai D River boleh anda tonton di saluran You Tube Shery On The Move. Video itu saya letakkan di dalam playlist Ruangan Shery NN Berbicara (70) https://youtu.be/gT0YRfpIj34