12 Julai 2022
Tillamook ialah jenama keju dan ais krim yang terkenal di Amerika Syarikat. Kilang pembuatan keju dan ais krim itu terletak di Tillamook, Oregon. Lawatan saya ke kilang keju di Tillamook, Oregon ialah pada hari kedua kembara USA (road trip) bulan Julai 2022. Ini merupakan pengalaman kali kedua saya melawat ke kilang keju dan yang pertama ialah di Margaret, River, Australia Barat pada tahun 2008.
Kilang yang saya pergi di Margaret RIver sangat kecil tetapi berbeza dengan kilang keju Tillamook. Di sini para pelawat boleh melihat dengan jelas proses pembuatan keju dan mereka boleh membaca langkah demi langkah yang telah dituliskan di atas papan tanda yang diletakkan di kawasan pemerhatian pelawat. Para pelawat juga boleh mengambil dan mencuba tiga keju pelbagai jenis secara percuma!
Selain boleh membeli keju, ais krim (yang telah dibungkus seperti di pasar raya) dan cenderamata, para pelawat boleh menikmati makanan di ruang makan bersaiz food court. Oleh kerana terlalu ramai orang, saya tidak meninjau satu persatu gerai makanan itu dan tidak pasti kadar harganya. Ramai juga yang beratur untuk membeli ais krim (bukan di dalam pembungkusan) di gerai yang menjualnya.
Saya pasti ramai antara anda yang belum pernah melihat cara pemprosesan dan pembungkusan keju secara lebih dekat, maka di sini saya telah kongsikan gambar-gambar dan anda boleh membaca setiap langkah itu. Memang saya akui gambar yang saya kongsikan agak banyak tetapi ia berbaloi untuk dibaca kerana saya tidak tertinggal satu pun setiap langkah dan penerangan itu.
Sekadar maklumat tambahan, keju Tillamook mempunyai logo halal di luar pembungkusannya. Mungkin atas alasan pasaran kepada pelanggan, tidak semua keju Tillamook yang dijual di pasar raya mempunyai logo halal. Biasanya di pasar raya Target anda boleh dapati keju halal Tillamook. Walau bagaimanapun, pembuatan keseluruhan keju dibuat di dalam kilang yang sama.
Saya berharap satu hari nanti saya akan kembali melawat ke kilang keju Tillamook sambil makan ais krim di situ. Lawatan tempoh hari seperti tidak puas kerana terlalu ramai orang (musim cuti sekolah).