Skip to content

San Francisco & Las Vegas | Ogos 2022

Ini ialah artikel kembara berkereta (road trip) USA bagi bulan Ogos 2022 untuk hari pertama, kedua dan ketiga.

1 Ogos 2022
Pemanduan dari Vancouver, Kanada bermula seawal jam 2:00 pagi. Gambar yang saya rakamkan di hadapan pintu apartment saya ialah pada jam 1:59 pagi.
Pemanduan hari pertama kembara ialah dari Vancouver ke San Francisco. Jarak antara kedua buah bandar yang dikira dari rumah saya menuju ke hotel penginapan saya di San Francisco ialah 1,537 kilometer.

Cuaca pada hari itu mendung, hujan dan berawan tetapi berbeza pula apabila berada di bahagian utara negeri California kerana jerebu dan asap tebal akibat dari kebakaran hutan yang melanda sejak beberapa hari sebelumnya. Jika pemanduan dilakukan tanpa henti, ia mengambil masa lebih kurang 15 jam. Bagi pemanduan saya dan suami pula, kami melakukan beberapa persinggahan untuk mengisi minyak kereta, membeli minuman dan ke tandas. Maka jumlah masa pemanduan kami ialah hampir 17 jam.

Selepas melakukan daftar masuk hotel, kami memandu ke San Mateo dan menikmati makan malam di sebuah restoran pizza yang diberi nama North Beach Pizza. Selepas itu kami pulang semula ke hotel untuk berehat dan tidak sabar untuk melakukan aktiviti pada keesokkan harinya.

2 Ogos 2022
Aktiviti hari kedua di San Francisco lebih menyeronokkan kerana disertai oleh kakak angkat kami yang datang dari Las Vegas iaitu Masrina. Semua tempat-tempat di dalam gambar di bawah telah pun saya dan suami lawati tetapi bagi Masrina pula ada tempat yang pertama kali dilawati dan ada tempat yang pernah beliau lawati sebelum ini.

Cuaca di San Francisco pada sebelah pagi sangat terang benderang tetapi telah bertukar menjadi mendung dan pada sebelah tengah hari. Pada awal petang kami telah memandu ke Palo Alto yang jaraknya ialah 53 kilometer dari San Francisco. Cuaca di Palo Alto sangat panas dan badan pula sudah berpeluh.

Kami ke Palo Alto dengan tujuan untuk meninjau restoran kopitiam yang popular di Singapura iaitu Killiney. Killiney Kopitiam mempunyai beberapa cawangan di Australia dan setiap cawangan dimiliki oleh pemilik berbeza. Begitu juga dengan cawangan di Palo Alto di mana pemiliknya ialah seorang wanita tempatan yang berasal dari Singapura. Beliau bersahabat dengan sepupu Masrina di Singapura. Saya dan Masrina ada bergambar dengan pemilik Killiney yang kebetulan memang ada di restoran pada waktu itu.

Kami berempat telah berkongsi rasa hidangan yang dipesan iaitu mee rebus, mee siam dan karipap. Secara keseluruhannya, semua hidangan dan minuman yang dipesan tidak sedap. Saya telah memberi ulasan penuh (review) mengenai mengapa semua hidangan dan minuman yang kami nikmati tidak sedap di dalam video ruangan Shery NN Berbicara yang ke-71 . Link diletakkan di bawah ini. https://youtu.be/b4hmiZNhPiM
Pada sebelah malam, kami ke Half Moon Bay dan makan di sebuah restoran India bersama Elly (pemilik Satay By The Bay), suami dan anak bongsu beliau.

3 Ogos 2022
Kembara hari ketiga ialah pemanduan dari San Francisco, California ke Las Vegas, Nevada. Jumlah jarak pemanduan yang dikira dari hotel di San Francisco menuju ke hotel di Las Vegas ialah 896 kilometer. Ia bermula dari jam 7:40 pagi dan berakhir pada jam 5:15 petang dengan jumlah masa pemanduan sebanyak 9 jam 35 minit.

Beratus kilometer sebelum tiba ke Las Vegas lagi, suhu telah menunjukkan mencecah 45 darjah Celsius. Beberapa hari sebelum kedatangan kami, Las Vegas mengalami hujan lebat yang menyebabkan banyak tempat banjir. Di kiri dan kanan lebuh raya juga masih dapat dilihat lopak-lopak berair akibat dari banjir itu.

Kurang lima minit sebelum tiba di hotel, saya berjaya rakamkan gambar sebuah kapal terbang yang ingin mendarat di lapangan terbang. Saya pasti ia adalah kapal terbang yang dinaiki oleh Masrina dari San Francisco. Saya dan suami bertolak pada sebelah pagi dan Masrina berlepas pada sebelah petang tetapi kami sama-sama tiba pada waktu yang sama.

Cerita kembara saya pada bulan Ogos masih belum berakhir kerana ia baharu merangkumi tiga hari sahaja. Nantikan artikel seterusnya yang akan disiarkan tidak lama lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *