15 Julai 2022
Redmond, Washington menempatkan ibu pejabat dunia bagi syarikat perisian komputer iaitu Microsoft. Pada hari kelima kembara, saya dan suami telah meninjau apakah yang menarik yang terdapat di Redmond sementelah kami menginap di hotel di bandar ini. Di dalam gambar pertama yang saya kongsikan di bawah ini, anda dapat lihat kami memandu di hadapan ibu pejabat dunia Microsoft. Banyak bangunan Microsoft di sini dan kami hanya pandu lalu di hadapan salah satu bangunan sahaja.
Di Redmond, kami telah melawat ke Redmond Town Center (RTC). RTC ialah kawasan membeli belah yang terletak di pusat bandar Redmond. Di sini juga ditempatkan beberapa kafe dan panggung wayang. Saya melihat RTC ialah tempat yang mesra keluarga. Ramai ibu bapa yang membawa anak-anak mereka datang bermain di kawasan ini. Untuk diri saya pula, saya rasakan ia tempat yang sesuai untuk berehat minum di kafe tetapi bagi pilihan membeli belah pula ia tidak menepati citarasa saya.
Dari Redmond, kami memandu 6.6 kilometer menuju ke sebuah lagi bandar iaitu Kirkland. Cuaca yang baik menyebelahi kami pada hari itu. Dengan langit yang membiru dan terang benderang, saya dapat rakamkan gambar-gambar dan video Tasik Washington yang cantik lagi mendamaikan. Langit yang membiru itu telah memberi kesan dan pancaran air tasik yang turut berwarna biru. Jika cuaca tidak bagus atau mendung, air tasik juga akan berwarna kelabu. Dari tempat saya ambil gambar tasik jelas dapat dilihat pemandangan pusat bandar Seattle.
Mungkin pada masa akan datang saya dan suami akan pergi lagi ke Kirkland untuk menjamu selera di salah sebuah restoran makanan laut di sana. Anda juga boleh tonton video lawatan saya ini dan dapat melihat dari dekat pemandangan bandar Seattle dari arah saya berdiri di tepi Tasik Washington di saluran You Tube Shery On The Move. Linknya saya letakkan di bawah.
https://youtu.be/gT0YRfpIj34