Artikel ini bersambung dari bahagian yang sebelumnya. Saya sarankan anda baca dahulu artikel sebelum ini untuk mendapatkan maklumat dan gambaran penuh. Link diletakkan di sini. https://sheryonthemove.com/?p=4675
10 Ogos 2022
Pemanduan hari kesepuluh bagi kembara berkereta (road trip) bulan Ogos 2022 bermula dari Las Vegas, Nevada menuju ke Sacramento, California. Di bahagian sebelum ini saya telah kongsikan gambar-gambar pada pemanduan awal pagi. Pada sebelah tengah hari kami singgah di Mojave. Sudah berpuluh kali saya dan suami pandu lalu Mojave di lebuh raya yang bersebelahan dengannya tetapi inilah pertama kali kami masuk ke bandar Mojave untuk meninjau kapal-kapal terbang yang sudah bersara yang selalu kami nampak dari jauh sahaja.
Bagi mereka yang berlatar belakangkan industri penerbangan, tentunya perkataan ‘aircraft boneyard‘ tidak asing bagi mereka termasuk saya dan suami. Lapangan Terbang Mojave memang terkenal kerana ia merupakan salah satu lapangan terbang di Amerika Syarikat (AS) menyimpan kapal-kapal terbang yang bersara dari satu dunia. Saya dan suami pernah pergi ke beberapa lagi aircraft boneyard yang terkenal di AS sebelum ini.
Apabila pergi ke tempat-tempat seperti ini bersama suami yang seorang juru terbang, saya seolah-olah pergi membuat lawatan secara percuma. Banyak maklumat yang suami saya kongsikan yang orang lain tidak faham atau tidak pernah mengetahuinya. Begitu juga setiap kali kami berada di Seattle, ada sahaja maklumat mengenai penerbangan yang suami ceritakan sementelah beliau pernah menetap di sana.
Berbalik semula mengenai Mojave, kami telah pergi ke beberapa tempat lain yang berdekatan dengan lapangan terbang demi mendapatkan sudut terbaik untuk mengambil gambar kapal-kapal terbang dari dekat. Mojave asalnya ialah kawasan padang pasir (desert) sama seperti Las Vegas. Jadi suhu sewaktu kami di sana ialah lebih kurang 40 darjah Celcius.
Sacramento
Tiba di ibu negeri California pada lewat petang, dan kami terus pergi ke restoran halal yang diberi nama Mr. Chicken. Tanpa disangka pelayan restoran masih mengenali saya dan suami kerana kami pernah datang ke restoran yang sama pada bulan Mac yang lalu. Sewaktu lawatan kali pertama, restoran ini dalam proses peralihan untuk menukar nama dan menu. Anda boleh baca artikel dan melihat gambar-gambar sewaktu kedatangan kali pertama kami di restoran ini. https://sheryonthemove.com/?p=1117
Jumlah jarak keseluruhan pemanduan yang dikira dari hotel di Las Vegas, Nevada menuju ke hotel di Rancho, Cordova, California ialah 912 kilometer. Ia tidak termasuk persinggahan sekejap kami di bandar Barstow, Mojave dan Fresno. Bagi masa pemanduan pula, jumlah keseluruhan termasuk masa kami berhenti-henti yang bermula pada jam 6:30 pagi ialah hampir 12 jam.
11 Ogos 2022
Ini merupakan hari kesebelas kembara berkereta (road trip) USA bulan Ogos 2022. Pemanduan bermula dari hotel di Rancho Cordova menuju ke pusat bandar Sacramento dengan jarak 23 kilometer. Ini merupakan kedatangan kali kedua saya ke bangunan perundangan negeri dan kali pertama ialah pada tahun 2012. Walaupun baharu dua kali ke bangunan perundangan negeri, tetapi saya dan suami sudah kerap pandu lalu sahaja di Sacramento.
Selepas bergambar di situ, kami singgah sebentar membeli minuman di Starbucks yang berdekatan dan kemudian menyambung pemanduan jarak jauh menuju ke Tigard, Oregon.