Saya mencari restoran halal di Sacramento untuk makan malam sewaktu di dalam perjalanan pemanduan kembara dari Vancouver menuju ke Fresno, California. https://sheryonthemove.com/?p=1089
Kami telah menghabiskan masa lebih kurang 30 minit untuk keluar dari lebuh raya dan pusing di alamat yang dicari selama beberapa kali. Di dalam pusingan terakhir sebelum kami mengalah, baharu kami jumpa restoran yang dicari. Sebenarnya ia terletak di hadapan jalan besar tetapi kami terlepas pandang kerana restoran itu telah menurunkan papan tanda.
Menu yang dipaparkan di laman sesawang mereka sama seperti yang dipaparkan di dinding restoran. Malangnya kami tidak dapat menikmati apa yang ditawarkan kerana ia adalah menu baharu yang akan mereka lancarkan beberapa hari lagi (dari hari kedatangan kami). Maka kerana itulah papan tanda restoran telah diturunkan kerana nama restoran juga akan ditukar.
Sewaktu kami datang, nama restoran ialah Tanoor Halal Food. Para pelanggan tidak mempunyai pilihan kerana pihak restoran hanya menyajikan dua jenis hidangan sahaja. Ia sangat menghampakan kami, tetapi kami tetap memesan apa sahaja yang ada.
Saya memesan kebab dan suami pula kebab yang telah dipotong dan dihidangkan berserta kentang goreng. Isi ayam di dalamnya banyak dan tidak pedas. Apa yang memeranjatkan saya ialah bungkusan roti pita yang sangat padat dan ketat. Agak sukar untuk mendapatkan kebab yang bungkusan roti pitanya sempurna dan tidak terbuka. Rasa dan baunya yang wangi juga berbeza. Saya dapat rasakan roti itu telah disapukan dengan mentega. Yang saya ingat bungkusan kebab sempurna yang saya sukai ialah di kedai kebab di bawah apartmen saya sewaktu saya menetap di Melbourne, Australia.
Pemilik dan petugas restoran juga peramah dengan kami. Mereka telah memberikan kami dua keping roti bakar percuma kerana ia adalah antara menu baharu yang akan dilancarkan kelak.
Saya juga turut tertarik dengan dekorasi dalaman restoran ini yang begitu jelas menonjolkan unsur dari negara timur tengah.
Sekiranya saya dan suami datang lagi ke Sacramento, kami ingin kembali ke restoran ini kerana menu baharu mereka sangat menarik dan harganya yang murah. Restoran baharu mereka diberi nama Mr. Chicken. Alamat restoran ialah, 2212 Arden Way, Sacramento, California. Lokasi restoran ini sangat strategik kerana ia berdekatan dengan pusat membeli belah dan dikelilingi dengan banyak restoran lain.