Skip to content

Berjumpa Ahli Politik Kanada

Kenangan paling manis saya pada musim panas tahun 2022 ialah apabila saya berpeluang berjumpa dengan salah seorang ahli politik terkenal Kanada iaitu Pierrie Poilievre. Perjumpaan pada 29 Ogos itu ialah bersempena dengan kempen beliau untuk bertanding sebagai ketua Parti Konservatif Kanada (Conservative Party Of Canada).

Beliau pernah datang ke Vancouver beberapa bulan sebelum kempen bulan Ogos tetapi saya tidak dapat hadir kerana majlis itu diadakan pada waktu malam yang tidak sesuai dengan jadual saya. Pada kali kedua beliau datang ke sini baharu saya dapat hadir dan kebetulan suami saya juga bercuti pada hari itu. Majlis berkempen dan meet and greet diadakan di Italian Cultural Centre pada jam 7:00 malam tetapi saya dan suami datang awal iaitu pada jam 5:40 petang kerana ingin mendapatkan tempat duduk hadapan.

Pierrie Poilievre berucap hampir 30 minit dan kemudian baharu sesi berjumpa dan bergambar diadakan di dalam dewan itu juga. Beliau berdiri di penjuru hujung dewan dan bertemu dengan semua para pengikut dan penyokong. Anda dapat lihat gambar yang saya kongsikan di bawah di mana saya rakamkan sewaktu saya sedang berbaris dan kelihatan dari jauh beliau berdiri di hujung penjuru dewan.

Saya dan suami berbaris dari 7:40 malam sehingga ke 9:44 malam semata-mata untuk bertemu dan bergambar dengan beliau. Penat berdiri dan berbaris sangat berbaloi. Anda juga boleh tonton video yang saya rakamkan sewaktu majlis itu di saluran You Tube Shery On The Move. Link video itu saya letakkan di sini. https://youtu.be/ITXcr7E92Ys

Oleh kerana Vancouver merupakan bandar terakhir bagi beliau berkempen setelah berbulan-bulan merentasi negara, maka apabila beliau melakukan rumusan kempen melalui video selama 5 minit yang disiarkan di seluruh media sosial, banyaklah ternampak wajah saya di dalam video itu. Anda boleh tonton video itu melalui link di bawah ini. Sebagai rujukan tambahan, anda dapat cari saya di sebelah kanan video.
https://youtu.be/ITXcr7E92Ys

Menyentuh sedikit mengenai politik, ingin saya nyatakan di sini bahawa setiap orang mempunyai hak untuk bercakap mengenai politik kerana masing-masing berhak untuk mengundi dan membayar cukai setiap bulan/tahun. Lebih jelas lagi, saya menghormati parti politik yang dipilih oleh seseorang contohnya mereka di kalangan keluarga atau sahabat saya. Asalkan mereka ada hak untuk mengundi, maka mereka berhak untuk memilih siapa sahaja yang mereka sukai.

Ada orang meletakkan gambar atau ulang siar (repost) mengenai hal-hal semasa negara mereka yang secara tidak langsung berkaitan politik di dalam media sosial mereka, ada orang lain pula langsung tidak mahu meletakkan apa-apa mengenai bahan politik atau hal negara di laman media sosial. Seperti yang saya katakan tadi, ia terpulang kepada individu. Akan tetapi, ramai yang tidak tahu tentang tata cara apabila menyentuh mengenai politik di dalam media sosial.

Saya cuba letakkan contoh diri saya sendiri supaya ia mudah difahami oleh para pembaca dan boleh dibuat rujukan. Secara jujurnya, saya tidak mempunyai masalah apabila seseorang itu ingin menyiarkan apa sahaja bahan atau perkembangan semasa yang berkaitan dengan parti atau ahli politik negara di dalam media sosial masing-masing. Ada kalanya saya juga berbuat begitu dengan niat untuk menunjukkan kebenaran dan kesedaran kepada orang lain.

Saya mempunyai ramai saudara dan sahabat dari Malaysia, Australia, Amerika Syarikat dan Kanada yang tidak sama dengan parti politik yang saya sokong, tetapi saya tidak pernah pergi ke laman media sosial mereka untuk memberi komen semata-mata untuk mempertahankan parti politik yang saya pilih dan sokong atau mempertikaikan polisi dari parti politik yang mereka sokong. Saya cuma kongsikan apa yang ingin saya kongsi hanya di dalam laman media sosial saya sahaja. Sekali lagi ingin saya nyatakan di sini yang saya tidak ‘kacau’ ke laman media sosial mereka sekiranya mereka berkongsi hal yang berkaitan dengan parti atau ahli politik yang saya tidak sukai.

Semoga contoh yang saya berikan di atas tadi dapat anda fahami. Satu lagi panduan mudah yang ingin saya kongsikan ialah, andai anda berasa ‘merah mata’ atau ‘panas hati’ apabila melihat post yang dikongsi oleh mereka yang berbeza parti politik yang anda sokong, saya sarankan supaya anda sorokkan (hide) sahaja post mereka. Dengan cara ini, hubungan kekeluargaan dan persahabatan masih lagi berterusan.

Belajarlah menjadi seorang yang matang dalam menjaga hubungan kekeluargaan dan persahabatan. Jangan hanya politik, hubungan itu terputus begitu sahaja. Ia adalah sangat mengecewakan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *