Skip to content

Hari Terakhir Musim Panas 2022

21 September 2022
Saya dan suami luangkan hari terakhir musim panas di Vancouver bersama sahabat kami dari Singapura iaitu Eda dan suaminya Faisal yang datang bercuti selama enam hari bermula dari 20 September hingga 25 September.
Cuaca pada hari terakhir musim panas tersangat bagus kerana panas dan terang benderang dengan suhu sekitar 20 darjah Celsius. Ia sangat berbeza jika hendak dibandingkan dengan tahun-tahun sebelum ini kerana kebiasaannya pada awal bulan September sudah selalu hujan dan suhu pun mulai dingin.

Saya dan suami berjumpa dengan mereka di Granville Island dan kami berjalan kaki jauh selama dua jam sambil menikmati pemandangan bandar Vancouver. Pada sebelah petang kami menaiki teksi air atau dipanggil Aquabus dari hentian Yaletown menuju pulang semula ke Granville Island.

Saya memang teringin untuk menaiki Aquabus sejak dari hari pertama saya berpindah ke Vancouver tetapi suami saya menolak setiap kali saya mengajak beliau. Apabila saya berkeinginan untuk pergi seorang diri, masa pula selalu tidak mengizinkan. Nampaknya rezeki menyebelahi saya pada hari itu apabila akhirnya berpeluang menaiki Aquabus dan lebih memeranjatkan, suami saya yang mengajak kami semua menaikinya.

Kami berempat telah makan malam di salah sebuah restoran Jepun kegemaran saya dan suami iaitu The Eatery dan kemudian pergi ke kafe yang menjual pelbagai pilihan kek keju yang diberi nama Cheesecake Etc.

Anda boleh tonton video penuh yang dirakamkan pada hari terakhir musim panas di Vancouver termasuk sewaktu saya menaiki Aquabus di dalam video yang disiarkan di saluran You Tube Shery On The Move. Klik link di bawah ini untuk terus tonton video itu.
https://youtu.be/ITXcr7E92Ys

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *