Skip to content

Hari Pertama Musim Luruh

Hari pertama musim luruh tahun 2022 jatuh pada 22 September. Berbeza dari tahun-tahun sebelumnya, hari pertama musim luruh tahun ini di Vancouver masih lagi panas. Suhu pada awal pagi ialah belasan darjah Celsius dan pada sebelah tengah hari hingga ke petang suhu naik sehingga melebihi 20 darjah Celsius.

Lokasi pertama yang saya dan suami bawa pergi dengan membawa sahabat kami dari Singapura ialah Stanley Park di Vancouver. Kemudian kami pergi Capilano Suspension Bridge Park yang terletak di North Vancouver. Setiap tahun saya dan suami membeli pas tahunan untuk ke Capilano Suspension Bridge Park. Ia hanya ditawarkan untuk penduduk British Columbia sahaja, Salah satu kelebihan pas tahunan ini ialah,pemegang pas itu boleh membawa seorang tetamu dan tetamu itu mendapat diskaun masuk sebanyak 15%.

Sebagai pemegang pas tahunan, musim yang menjadi kegemaran saya untuk datang ke Capilano Suspension Bridge Park ialah pada musim luruh dan musim sejuk. Saya suka datang pada musim luruh kerana ia bukan musim puncak atau musim cuti sekolah. Bagi musim sejuk pula, walaupun biasanya ramai pelawat, tetapi saya tetap suka datang kerana ingin melihat limpahan lampu berwarna-warni sempena perayaan Hari Krismas dan Tahun Baharu.

Sewaktu kedatangan kami berempat pada hari pertama musim luruh, saya terperanjat kerana terlalu ramai pelancong yang datang walaupun bukan pada musim puncak. Setelah lama berfikir, baharu saya teringat yang mereka ini ialah pelancong kapal persiaran yang datang transit ke Vancouver. Kerana itulah saya melihat banyak bas persiaran di tepi jalan yang membawa mereka datang.

Setelah beberapa jam dihabiskan di Capilano Suspension Bridge Park, kami kemudian makan tengah hari dan minum kopi di salah sebuah restoran dan kafe yang terletak berdekatan sahaja dari situ. Anda boleh tonton video penuh hari pertama musim luruh di dalam saluran You Tube Shery On The Move. Sila klik link di bawah untuk terus ke video berkenaan.
https://youtu.be/F_Nq_Crxwgg

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *