Kalispell terletak di utara negeri Montana dan lebih kurang satu jam pemanduan dari sempadan antarabangsa bahagian selatan Kanada. Kalispell menjadi tumpuan pelancong yang ingin ke Taman Negara Glacier dan melakukan aktiviti luar atau lasak seperti mendaki, bermain ski, golf, memancing dan lain-lain.
Walaupun populasi penduduk di Kalispell hanya 29,886 (dikira sehingga tahun 2023), tetapi saya melihat ianya ‘besar’ kerana semua kemudahan sedia ada untuk penduduk tempatan dan juga pelancong.
Hanya empat sahaja gambar Kalispell yang saya kongsikan di sini kerana akan ada artikel lain yang akan saya siarkan mengenainya tidak lama lagi.
Bermula dari gambar kelima, ia dirakamkan di Whitefish.
Jarak antara Kalispell dan Whitefish ialah 26 kilometer dan waktu pemanduan pula bergantung kepada keadaan trafik semasa. Tetapi, biasanya pemanduan dianggarkan lebih kurang 25 minit sahaja. Populasi di Whitefish lebih kecil berbanding Kalispell iaitu 9,163 (dikira sehingga tahun 2023). Whitefish dikenali sebagai resort town kerana tempatnya yang mendamaikan dan jauh dari kesibukan bandar. Kerana itu, ramai orang-orang kaya memiliki rumah di sini termasuk selebriti.
Semasa di Whitefish, saya dan suami telah pergi ke kawasan bandar untuk makan tengah hari di restoran makanan Jepun dan kemudian bersiar-siar di situ. Walaupun saya memanggil bandar, tetapi sebenarnya ia bandar kecil yang tidak sibuk dan tidak ada kesesakan lalu lintas. Seperti yang saya sentiasa beritahu kepada pembaca, di mana sahaja saya pergi, saya pasti akan mengambil gambar-gambar bangunan kerana saya suka dengan seni bina lama.
Pada lewat petang sebelum pulang ke hotel, kami singgah di sebuah pasar raya yang beroperasi 24 jam. Kami kagum melihat saiz pasar raya ini yang besar yang menjual barang-barang dengan cukup dan tidak ada rak-rak yang kosong. Sebenarnya banyak gambar-gambar harga makanan yang sangat murah yang saya rakamkan antaranya jus oren, telur dan buah-buahan tetapi di bawah ini saya hanya kongsikan satu sahaja iaitu buah strawberi. Harga-harga itu jauh bezanya dengan harga di pasar raya di Kanada.
Anda boleh tonton video di YouTube saluran Shery On The Move di mana saya telah kongsikan video yang dirakamkan di Kalispell dan Whitefish; https://youtu.be/Wq9lxsp6CL0?si=OsQNihWSz-Y78TIY
Selain itu, anda boleh baca artikel sebelum ini mengenai lawatan saya ke kedai yang menjual produk dari buah huckleberry di Montana. https://sheryonthemove.com/?p=6992
























