Skip to content

Pemanduan Dari Fresno Ke Las Vegas

Jika pemanduan dari Fresno, California ke Las Vegas, Nevada dibuat tanpa henti, ia akan mengambil masa lebih kurang 6 jam. Ia dikira sehingga hotel penginapan saya yang berdekatan dengan lapangan terbang. Bagi pemanduan saya dan suami pula, ia mengambil masa 7 jam termasuk kami berhenti tiga kali iaitu untuk mengisi minyak kereta di Tulare, California, membeli minuman di Tehachapi, California dan persinggahan terakhir ialah di Primm iaitu sempadan negeri Nevada hanya untuk ke tandas.

Walaupun kami telah banyak kali menggunakan laluan perjalanan yang sama dari Fresno ke Las Vegas, tetapi ini merupakan pertama kami kami singgah ke Tehachapi, California. Pada asalnya kami berhenti di Starbucks untuk membeli minuman. Tetapi setelah memandu di dalam pekan kecil ini, kami tertarik untuk singgah mengambil gambar. Sewaktu berada di Tehachapi, cuacanya sangat cantik dan terang benderang. Akan tetapi suhunya sangat rendah iaitu sekitar 6 atau 8 darjah Celsius berserta dengan angin yang kuat.

Selepas gambar exit 167 persimpangan Bishop Mojave di bawah ini, anda boleh lihat gambar yang saya rakamkan dari jauh boneyard (kubur kapal terbang) di Lapangan Terbang Mojave. Banyak kapal terbang komersil yang sudah bersara dan ada juga yang disimpan sementara di sana termasuk kapal terbang dari QANTAS Airways.

Gambar tiga dan empat dari bawah pula, anda dapat melihat dua gambar matahari hampir terbenam di sebalik gunung yang saya rakamkan di Zzyzx, California.

Saya dapat menganggarkan lebih kurang 100 kilometer sebelum sampai ke Las Vegas, keadaan lebuh raya dari arah bertentangan menghala ke California sangat sibuk. Kenderaan bergerak perlahan seperti semut. Ia adalah perkara biasa pada setiap hujung minggu kerana kebanyakan penduduk atau pelancong dari California datang menghabiskan percutian hujung minggu di Las Vegas (Jumaat, Sabtu, Ahad).

Kereta seperti semut berbaris ini dapat dilihat daripada hari siang sehingga ke malam. Apabila sudah gelap, baharu saya rakamkan gambar kerana lampu kereta mereka nampak dengan lagi jelas. Gambar itu ialah paling bawah dan terakhir di dalam artikel ini.

Satu hari sebelum kami ke Las Vegas, ramalan kaji cuaca sudah menyatakan bahawa Las Vegas akan mengalami angin kuat. Pada sebelah petang pemanduan, kami sudah mula rasai angin kuat itu di lebuh raya. Selepas daftar masuk hotel, kami keluar semula untuk makan malam. Iya betul, angin tersangat kuat sehingga saya sukar untuk memakai jaket. Sekiranya tidak dipegang kuat, jaket itu pasti akan melayang ditiup angin.

Di Las Vegas, kami berhenti sebentar untuk bergambar di hadapan papan tanda selamat datang ke Las Vegas yang terkenal di The Strip. Saya dan suami bergambar dengan rambut yang serabut ditiup angin. Walau bagaimana pun gambar itu tetap saya hantar untuk dibuat kejutan kepada sahabat-sahabat yang dianggap seperti keluarga yang menetap di sana. Kemudian, kami menikmati makan malam di restoran kegemaran iaitu The Halal Guys di Chinatown.

Saya tidak akan membuat artikel mengenai hotel penginapan di Las Vegas kerana ia merupakan hotel sama yang saya dan suami menginap pada tahun 2018. Anda boleh rujuk melalui artikel lama yang pernah disiarkan di dalam blog Terjemahan Hati; https://sharery.blogspot.com/2018/11/tru-by-hilton-las-vegas-airport-nevada.html

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *