Skip to content

Perasaan Emosi Sebelum Sampai Ke Las Vegas

Saya begitu teruja dan gembira untuk kembali semula ke Las Vegas setelah hampir tiga tahun tidak ke sana. Di dalam waktu yang sama, hati, perasaan dan emosi saya bercampur baur. Saya tidak boleh lari dari mengingatkan tentang kedatangan terakhir saya ke Las Vegas pada bulan Jun 2019.

Kedatangan saya ke Las Vegas pada tahun 2019 diibaratkan seperti bukan diri saya yang berada di sana. Saya sedang bertarung dengan masalah mental yang teruk yang menjejaskan kesihatan fizikal saya juga. Pada waktu itu saya baharu sebulan keluar dari hospital dan baharu dua bulan mula mengambil pelbagai ubat-ubatan.

Di Las Vegas pada tahun 2019, tahap anxiety saya masih berada di puncak. Badan dan mental saya sangat lemah. Saya juga tidak berdaya dan malas untuk bersolek. Pernah ada salah satu hari saya bersolek nipis, itupun masih jelas raut wajah saya yang sedang mengalami sakit dalaman. Gambar-gambar saya di Las Vegas pada tahun 2019 jelas berbeza dengan kedatangan saya ke sana pada tahun-tahun sebelumnya.

Berbalik semula kepada perasaan serta emosi saya yang bercampur baur itu, sebenarnya ia tidak memberikan kesan negatif kepada diri saya pada hari pemanduan ke Las Vegas. Apa yang dapat saya simpulkan ialah, saya sebenarnya terharu sehingga saya terpaksa menahan dari air mata jatuh. Saya tidak mahu suami lihat saya menangis di dalam kereta.

Saya sangat terharu, gembira dan memanjatkan kesyukuran kepada Allah kerana telah memulihkan kesihatan saya setelah lebih tiga tahun saya mengharungi ‘seksaan’ ini. Kini, saya tidak perlu lagi membawa ubat-ubatan sewaktu mengembara. Doktor telah membenarkan saya berhenti secara rasmi pada 2 Februari 2022 (2.2.22). Badan juga tidak sesusut seperti tiga tahun lalu, malah saya lebih berisi kerana kesan sampingan ubat-ubatan yang saya ambil selama tiga tahun.

Tiga gambar di atas dirakamkan di Las Vegas pada bulan Jun 2019. Selain berat badan yang susut, kulit muka saya juga mengalami masalah. Saya juga perlu makan tiga jenis ubat berbeza. Coffee mug itu ialah pemberian dari Jihan yang menetap di Las Vegas. Dua gambar di bawah pula dirakamkan pada minggu lalu iaitu Mac 2022. Anda dapat lihat perbezaan ketara diri saya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *