Saya ingin mengucapkan Salam Ramadan dan selamat berpuasa kepada semua muslimin dan muslimat yang membaca artikel ini. Semoga kita semua diberikan kesihatan mental dan fizikal yang baik untuk melaksanakan amal ibadat pada bulan yang mulia ini.
Bermula pada petang 1 April 2022 iaitu satu hari sebelum masuknya bulan puasa, keadaan emosi saya sudah terganggu. Ia terganggu bukan kerana hal negatif tetapi sebaliknya kerana hal-hal positif. Sukar untuk saya ceritakan bagaimana perasaan teruja saya untuk menyambut bulan Ramadan pada tahun ini. Perasaan ini sangat berbeza berbanding beberapa tahun kebelakangan ini terutama pada tahun 2019 di mana tahun itu keadaan kesihatan mental dan fizikal saya adalah pada tahap yang sangat tidak memuaskan.
Pada sebelah lewat petang, saya menonton siaran ulangan drama bersiri 911. Saya ketinggalan dua episod kerana saya melakukan kembara di USA. Pada episod kedua, ia lebih kepada cerita mengenai kesihatan mental dan hati saya begitu tersentuh. 90% daripada watak di dalam episod itu sama seperti yang saya alami pada tahun 2019 termasuk adegan pelakon yang bermalam di hospital. Ia juga terjadi kepada saya pada bulan bulan Ramadan 2019. Tanpa sedar, air mata saya mengalir sewaktu menonton drama itu.
Kemudian pada sebelah malam, sekali lagi saya menangis sewaktu sembahyang fardhu dan selepas sembahyang sunat tarawih. Sekali lagi, saya tidak dapat gambarkan dengan kata-kata. Saya menangis bukan kerana saya sakit, bukan kerana saya lemah, bukan kerana saya sedih. Sebenarnya saya menangis kerana sangat bersyukur. Bersyukur sehingga ke tahap langit yang tinggi.
-Saya bersyukur kepada Allah kerana telah ‘mengembalikan’ diri saya yang telah hilang beberapa tahun akibat dari OCD yang pernah saya alami. Malah saya rasakan diri saya sekarang ini lebih baik dan bagus daripada diri saya sebelum mengalami OCD.
-Saya bersyukur kerana Allah telah menyembuhkan kesihatan mental saya.
-Saya bersyukur kerana tahun ini tidak ada lagi gangguan anxiety yang menakutkan saya untuk berpuasa dan melakukan kerja-kerja seharian di bulan Ramadan.
-Saya bersyukur kepada Allah kerana telah berikan saya kekuatan yang sangat luar biasa. Pada bulan puasa 2019, saya pernah tertanya-tanya banyak kali kepada diri sendiri, bagaimana saya ingin mencari kekuatan untuk meneruskan kehidupan? Saya tidak pernah terlintas atau berniat untuk bunuh diri, sebaliknya saya penat dan letih kerana setiap hari saya bertarung dengan anxiety dan depression. Pada tahun itu saya tersangat lemah dalaman dan luaran.
-Saya bersyukur, gembira dan terharu kerana saya dapat menunaikan sembahyang sunat tarawih buat pertama kali setelah sekian lama saya tidak lakukannya.
Walaupun saya masih sembahyang di atas kerusi, namun saya dapat rasakan malam pertama melakukan tarawih seakan seperti mendamaikan jiwa saya. Malam yang syahdu, terharu, gembira, teruja dan hiba.
Saya juga turut mengenangkan bulan puasa tahun ini merupakan tahun kedua emak tiada di dunia. Rindu saya dengan emak tiada siapa yang memahami. Hanya mereka yang sudah kehilangan ibu bapa sahaja yang dapat merasai perasaan seperti saya ini.
Luahan Shery NN
2 April 2022
12:37 AM