Pada hari kelima kembara berkereta, saya dan suami masih lagi menginap di hotel yang sama di Rapid City, South Dakota. Akan tetapi, hari itu kami melakukan pemanduan ke negeri lain dan akan pulang semula ke hotel pada sebelah malam.
Oleh kerana pada pertengahan musim bunga hari siangnya semakin panjang dan waktu matahari naik juga sangat awal, maka kami memulakan pemanduan pada jam 05:30 pagi menuju ke negeri Nebraska. Ini bukan pertama kali kami datang ke Nebraska, tetapi kedatangan yang terdahulu tidak menggunakan laluan yang sama seperti kali ini.
Tujuan utama pemanduan pada hari kelima ialah kerana suami saya teringin untuk pergi ke satu tempat menarik di Alliance. Di sini saya kongsikan gambar-gambar pemandangan di sepanjang pemanduan yang mengambil masa hampir kepada dua jam setengah.

Suhu pada pagi itu agak dingin dan cuacanya berubah-ubah dalam tempoh pemanduan. Pada mulanya ada matahari pagi, kemudian mendung, hujan, berkabus dan begitulah ianya terjadi berselang seli. Mungkin ada orang yang merasakan pemanduan ini membosankan kerana ‘tiada apa’ yang menarik untuk dilihat.
Sebenarnya, sebagai pengembara, kita tidak boleh cerewet atau memilih pemandangan yang indah sahaja. Saya suka melihat dan rakamkan gambar pemandangan di luar bandar dan perkampungan. Dari situ juga saya dapat melihat rumah-rumah dan kenderaan yang penduduk tempatan miliki serta, pekerjaan yang mereka lakukan.







Saya tidak sangka yang saya mengambil keputusan untuk berkongsi dengan anda sepuluh gambar pelangi yang sempat saya rakamkan sewaktu pemanduan. Bukan setiap hari kita dapat melihat pelangi yang terbit cukup separuh bulat. Sesungguhnya, nasib baik menyebelahi kami. Mungkin ianya tidak secantik yang anda lihat kerana saya tidak mengubah suai (edit) gambar-gambar pelangi ini dan ianya sama seperti yang saya rakamkan melalui telefon tangan. Keindahan pelangi yang dilihat dari mata kasar tidak dapat dinilai melalui gambar.










Selepas puas menyaksikan pelangi terbit penuh, kami pun tiba di sempadan negeri Nebraska dan berhenti untuk mengambil gambar papan tanda selamat datang.




Alliance ialah persinggahan pertama kami di negeri Nebraska. Nantikan artikel akan datang di mana saya akan kongsikan dengan tempat yang menjadi bucket list untuk suami saya.

