Saya dan suami datang dan menginap di Fresno adalah kerana satu sebab. Jika bukan sebab ini, kami akan menamatkan pemanduan hari pertama lebih awal sedikit iaitu kami boleh bermalam di Sacramento.
Sebab utama ialah saya ingin berjumpa dengan seorang pengikut Instagram saya yang dikenali sejak beberapa tahun yang lalu iaitu Jaafar. Walaupun kami kerap berhubung melalui Instagram, tetapi pertemuan ini merupakan yang pertama buat kami berdua.
Oleh kerana kembara ini dirancang last minute, maka saya beritahu untuk berjumpa dengan beliau juga sudah lewat malam. Mujurlah beliau tidak bekerja pada hujung minggu, jadi saya dapat mengagak yang pertemuan kami mungkin akan menjadi.
Pagi Ahad di Fresno agak sejuk dan berangin dengan suhu lebih kurang 8 darjah Celsius. Selepas daftar keluar hotel, saya dan suami singgah sebentar di Lapangan Terbang Antarabangsa Fresno Yosemite. Suami tunggu di dalam kereta mana kala saya seorang masuk ke dalam bangunan terminal. Saya tidak memakai pelitup muka sewaktu masuk ke bangunan terminal. Tetapi setelah masuk, baharu saya perasan semua orang memakainya kerana sudah ada papan tanda peringatan. Saya pakai pun sekejap sahaja.
Tujuan kami ke sana adalah untuk membeli cawan kopi (mug) Starbucks Yosemite. Malangnya yang diinginkan tidak dijual tetapi saya beli mug lain yang tidak sangka dijual di sana iaitu San Diego. Kami pernah membeli mug di Starbucks di San Diego tetapi itu ialah rekaan dan corak lama.
Pada jam 11:00 pagi, kami makan tengah hari bersama Jaafar di Fashion Fair Shopping Center. Selesai makan tengah hari, saya dan suami singgah semula ke Lapangan Terbang Antarabangsa Fresno Yosemite untuk bergambar di persimpangan masuk ke bangunan terminal. Kemudian pemanduan hari kedua bersambung pada jam 1:00 tengah hari menuju ke Las Vegas, Nevada
.