Skip to content

Pemanduan Dari Salt Lake City Ke Helena

Terdapat dua laluan sekiranya ingin melakukan pemanduan dari Salt Lake City, Utah ke Helena, Montana. Apabila berada di Idaho Falls, di situlah pemandu membuat keputusan sama ada ingin meneruskan pemanduan menggunakan I-15 N atau US-20 E. Biasanya pemandu memilih lebuh raya I-15 N kerana lebih cepat. Jaraknya ialah 779 kilometer dari Salt Lake City. Bagi pemanduan pada hari itu, saya dan suami membuat persinggahan sebanyak empat kali termasuk untuk mengisi minyak kereta.

Ini merupakan pertama kali saya menggunakan lebuh raya ini menuju ke Helena. Saya pernah ke Helena pada tahun 2015 tetapi pemanduan adalah dari arah timur iaitu dari Chicago. Pemandangan di sepanjang pemanduan masih cantik tambahan pula masih banyak salji yang tidak cair di kawasan pergunungan. Pada awal pemanduan cuacanya panas dan terang benderang, tetapi lama kelamaan suhu makin menurun dan cuacanya berawan dan sangat mendung. Pemanduan juga dianggap sangat muram dan sunyi kerana tidak banyak kenderaan yang memandu pada hari itu. Saya tidak pasti adakah kerana pemanduan dibuat pada bukan musim cuti atau laluan ini memang tidak pernah sibuk kerana ia menghala ke bandar kecil. Helena bukanlah bandar besar seperti Los Angeles atau Las Vegas.

Melalui plat kereta yang saya perhatikan, kebanyakan kenderaan yang menggunakan lebuh raya ini ialah dari negeri Montana dan negara Kanada. Montana ialah negeri yang bersempadan dengan Kanada. Kerana itulah banyak kenderaan dari Kanada yang keluar atau masuk menggunakan sempadan antarabangsa dari negeri Montana.

Walaupun di sepanjang pemanduan ibarat seperti tempat ‘jin bertendang’ tetapi tempat rehat dan tandas awamnya sangat bersih dan memuaskan. Ia tidaklah memeranjatkan kerana memang begitulah tahap kebersihan tandas di tempat rehat di lebuh raya di USA. Bangunan tempat rehat boleh anda lihat di bawah ini di mana saya juga turut selfie di kawasan itu.

Secara kesimpulan yang ingin saya kongsikan di sini ialah pemanduan dari Salt Lake City Ke Helena memang jelas dan ketara yang kami menghala ke arah utara di mana jalannya yang lurus mendatar dan merentasi gunung ganang. Memang dirasai yang kami ini seperti ‘naik’ untuk ke pulang ke Kanada.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *