Skip to content

Restoran Halal Di Salt Lake City, Utah

Saya mencari restoran halal di Salt Lake City di dalam Google hanya beberapa hari sebelum ke sana iaitu sewaktu masih di Las Vegas. Keputusan carian saya terus ke Curry Fried Chicken (CFC). Ia terletak tidak jauh dari pusat bandar dan hanya 5 minit pemanduan dari hotel yang saya dan suami menginap. https://sheryonthemove.com/?p=1258

Tanpa berfikir panjang, kami memilih CFC untuk makan malam. Sebab utama kami teringin datang ke CFC ialah kerana restoran ini telah didatangi oleh pelawat istimewa sebelum ini. Beliau ialah Guy Fieri yang mengacarakan rancangan makanan Diners, Drive-Ins and Dives (DDD).

DDD kalau di Malaysia ibarat seperti rancangan Jalan-Jalan Cari Makan. Manakala Guy Fieri pula ibarat seperti Maria Tunku Sabri. Guy Fieri bukan sahaja terkenal di USA malah satu dunia (sekiranya mereka menonton saluran Food Network). Inilah pertama kali saya datang menikmati makanan di restoran halal yang pernah dikunjungi Guy Fieri.

Pemilik restoran ialah pemuda yang berasal dari Pakistan. Ibu bapa beliau telah membuka restoran halal pertama di Salt Lake City pada tahun 1998 yang terletak tidak jauh dari CFC. Pemilik CFC yang bernama Sony, juga beberapa kali telah bersiaran di stesen televisyen tempatan. Gambar-gambar beliau banyak diletakkan di bahagian dinding. Sewaktu kami datang, Sony ada di dalam restoran dan sibuk mengambil pesanan dari pelanggan.

Saya dan suami memilih hidangan yang sama iaitu Curry Fried Chicken Plate. Set ini mempunyai dua ketul ayam goreng kari, nasi basmati, kari sayur, salad dan roti pita. Memang tidak dapat disangkal lagi bahawa ayam gorengnya sangat istimewa, sedap dan panas. Ayam goreng itu tidak tersedia untuk pelanggan sebaliknya apabila pelanggan datang meemsan, baharu tukang masak akan menggorengnya.

Oleh kerana kami duduk berhadapan dengan dapur, maka suami berpeluang melihat cara ayam itu digoreng. Kata suami, ayam itu dikeluarkan setelah separuh masa menggoreng, kemudian dikeluarkan untuk dicucuk dan dimasukkan semula di dalam kuali goreng. Mungkin ia merupakan teknik rahsia untuk menyedapkan lagi ayam itu.

Anda boleh tonton rancangan DDD di saluran You Tube Food Network sewaktu Guy Fieri datang ke CFC. https://youtu.be/aJLYGgH2OLQ

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *