Pemanduan dari hotel di San Francisco bermula pada jam 5:00 pagi. Saya dan suami bangun lebih awal untuk bersahur terlebih dahulu. Jarak untuk ke Salt Lake City, Utah ialah 1207 kilometer. Kami pernah menggunakan sebahagian dari laluan yang sama sebelum ini tetapi pada musim panas. Pada kali ini pula musim bunga yang baharu memasuki bulan pertama.
Saya pernah katakan di dalam You Tube ruangan Shery NN Berbicara bahawa musim bunga ini seperti penyakit bipolar. Musim bunga di kebanyakan tempat di Amerika Utara masih lagi sejuk, bersalji, hujan dan ada waktunya panas. Cuaca di sepanjang pemanduan pada kali ini sangat baik walaupun suhunya bertukar-tukar mengikut bandar yang berlainan.
Apabila pemanduan kami tiba di kawasan pergunungan di California, suhu mulai turun dan sudah kelihatan salji yang tebal. Kami mengetahui yang salji telah turun di situ setelah melihat ramalan kaji cuaca beberapa hari sebelum itu. Pemandangan sekeliling di sepanjangan pemanduan adalah sangat indah dan berbeza sewaktu melakukan pemanduan pada musim panas. Suhu di kawasan pergunungan pada waktu itu ialah sekitar -3 darjah Celsius.
Apabila tiba di Reno, Nevada, suhu mulai naik sedikit tetapi masih lagi dingin. Kemudian sebaik sahaja bergerak keluar dari Reno, cuaca agak panas kerana kami sudah berada di kawasan padang pasir sehingga membuatkan kami mengantuk dan terpaksa berhenti untuk tidur sebentar. Umum sedia maklum yang negeri Nevada ini ialah negeri padang pasir. Walaupun di sepanjang pemanduan hanya permukaan rata tetapi pemandangan tidak menjemukan malah kami telah menempuh tiga atau empat buah penjara negeri di tengah-tengah padang pasir!
Dua jam terakhir pemanduan iaitu apabila sudah memasuki negeri Utah, sekali lagi pemandangan di luar tidak menghampakan. Ia adalah pengalaman yang sangat indah apabila memandu ditengah-tengah tasik dan matahari mulai turun sekaligus warna langit pun bertukar serta sinaran di puncak gunung bersalji juga bewarna oren.
Kami berbuka puasa sekadar minum air di dalam kereta iaitu hanya tujuh minit lagi sebelum tiba di hotel. Suhu di Salt Lake City agak sejuk dan ia berbeza sama sekali sewaktu kami berada di bandar yang sama satu bulan sebelumnya. Saya memakai dress dan sandal pada musim bunga pada bulan Mac 2022 di Salt Lake City manakala pada bulan April, saya memakai baju musim sejuk. Begitulah yang saya katakan pada awal tadi bahawa musim bunga ialah musim yang tidak menentu.
Di dalam salah satu gambar di atas, anda dapat lihat gambar gunung bersalji dengan papan tanda ‘chain installation only‘. Ia bermaksud hanya tempat-tempat yang diletakkan papan tanda itu sahaja yang membenarkan kenderaan berhenti untuk memasang rantai di sekeliling tayar. Banyak lebuh raya mewajibkan kenderaan (terutamanya kenderaan berat) memasang rantai pada musim sejuk bersalji tebal.
Di dalam video ruangan Shery NN Berbicara yang ke-56, saya telah memberikan rumusan mengenai kembara bulan puasa April 2022. Di dalam video itu anda dapat melihat dari dekat kawasan pergunungan yang bersalji tebal serta pemandangan indah yang lain yang telah saya ceritakan tadi. Sila tonton melalui link di bawah ini.
https://youtu.be/0lvMUqEVe9Y