1 Syawal ialah hari kemenangan umat Islam. Walau apa dugaan yang Allah berikan kepada kita, raya tetap raya cuma sambutan setiap orang itu mungkin berbeza. Tidak ada istilah tidak boleh beraya atau tidak mahu beraya. Tahun 2008, bapa saya meninggal dunia kurang 24 jam sebelum hari raya, namun keesokan harinya kami sekeluarga tetap berhari raya walaupun disambut tersangat sederhana kerana sebagai umat Islam kita tidak boleh berkabung. Mereka yang pergi tetap tidak akan kembali. Maka kehidupan kita di dunia ini perlu diteruskan.
Seperti contoh, saya mengenali seorang insan yang kehilangan suami pada pada awal Ramadan yang lalu, dan sepupu saya kehilangan anak lelaki beliau akibat Covid tahun lalu, namun masing-masing mereka masih menyambut hari raya bersama ahli keluarga yang lain. Ingatlah, walau apapun dugaan yang datang, 1 Syawal perlu diraikan. Ia bukan pilihan.
1 Syawal ialah anugerah dari Allah yang datang setahun sekali. Bagi mereka yang mempunyai keluargai di sisi, mereka sepatutnya bersyukur dan gembira meraikan Aidilfitri bersama. Seperti saya pula, saya juga sudah biasa berhari raya seorang diri kerana suami bekerja. Tahun ini saya sengaja memeriahkan lagi suasana raya demi untuk menjaga kesihatan mental. Apabila menyentuh mengenai kesihatan mental, kita perlu ‘selfish’. Kita berhak untuk membahagiakan diri sendiri.
Sejak saya berhijrah ke luar negara pada tahun 2009, tahun ini merupakan pertama kalinya saya melakukan pelbagai hiasan di rumah sempena Aidilfitri. Walaupun suami saya bekerja pada hari raya, namun saya anggap sambutan untuk diri saya sendiri begitu meriah. Saya berhak meraikan kejayaan dan kemenangan dalam berpuasa, apatah lagi tahun ini kesihatan mental saya cukup bagus dalam melaksanakan ibadah berpuasa.
Saya juga berasa gembira kerana pada hari raya pertama, saya telah memakai kain batik dan juga beg tangan emak. Saya turut pergi berhari raya dengan membawa juadah yang diletakkan di dalam mangkuk tingkat/magkuk sia/tiffin. Untuk melihat gambaran penuh bagaimana suasana persiapan menjelang hari raya serta sambutnya, anda perlu tonton video yang disiarkan di saluran You Tube Shery On The Move. https://youtu.be/k11dtLNLhlQ
Pada 9 Mei bersamaan 8 Syawal, saya menerima tetamu yang merupakan sahabat dari Richmond dan Kelowna. Saya turut mengalu-alukan seorang kenalan baharu untuk sama-sama memeriahkan suasana pada tengah hari itu. Hidangan yang saya sediakan ialah pasta tomyam goreng berserta kuih-kuih raya. Manakala sahabat saya Kak Elva telah membawa beberapa hidangan kuih termasuk karipap.
Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Maaf Zahir Batin kepada semua pembaca setia.