Skip to content

30 Ramadan & Bulan Kesedaran Kesihatan Mental

Sewaktu artikel ini ditulis, tinggal lebih kurang dua jam lagi untuk saya berbuka puasa. Maka berakhirlah bulan Ramadan tahun 2022. Setiap tahun semua orang akan berasa sedih untuk tinggalkan bulan yang mulia ini. Bagi saya pula, perasaan sedih itu lebih sangat terasa pada tahun ini berbanding sebelumnya.

Saya berasa sebak dan hiba sewaktu awal Ramadan, dan perasaan itu datang kembali pada penghujung Ramadan. Terutama sekali apabila saya selesai menunaikan sembahyang tarawih ke-30 pada malam 29 Ramadan kerana ia merupakan tarawih terakhir untuk Ramadan tahun ini.

Selesai sembahyang tarawih ke-30 pada malam 29 Ramadan

Sebak dan hiba yang saya maksudkan ialah kerana saya sangat gembira buat pertama kalinya Ramadan tahun ini saya dapat menunaikan sembahyang tarawih selama jika tidak silap saya 10 hari. Saya tidak ingat tahun berapa kali terakhir saya menunaikan sembahyang sunat ini. Maka, ini merupakan satu kejayaan peribadi apatah lagi saya baharu pulih dari mengalami masalah kesihatan mental selama beberapa tahun. Masalah ini telah menghadkan saya untuk melakukan amal ibadat yang sunat. Saya hanya lakukan yang wajib sahaja.

Berpuasa pada tahun ini juga saya anggap sebagai cabaran kerana saya tidak perlu lagi mengambil ubat-ubatan. Ia tidak seperti tahun 2019, 2020 dan 2021. Walaupun Ramadan tahun ini saya tidak lagi mengambil ubat-uabtan tetap tidak dinafikan datang juga sedikit dugaan kecil, namun saya berjaya menepisnya. Anda boleh baca artikel terdahulu yang disiarkan pada 2 April 2022 di mana saya telah ceritakan tentang awal Ramadan yang berkaitan dengan kesihatan mental saya. https://sheryonthemove.com/?p=1232

30 Ramadan juga mengingatkan saya tentang pemergian bapa saya. Hanya saya dan keluarga sahaja yang merasai peritnya diduga oleh Tuhan apabila bapa meninggalkan kami buat selama-lamanya pada pagi 30 Ramadan tahun 2008. Sedang orang lain teruja dan gembira untuk meraikan Aidilfitri, kami sekeluarga pula menangis dan meratapi pemergian bapa. Tahun ini masuk tahun ke-14 kami sekeluarga tidak beraya tanpa bapa dan tahun kedua beraya tanpa mak.

Walaupun sudah 2 kali Ramadan tanpa mak di dunia, tetapi perasaan kehilangan itu lebih terasa tahun ini berbanding tahun pertama iaitu tahun 2021. Mungkin kerana tahun lalu suami saya sedang bercuti dan kami dapat berhari raya bersama. Berbeza tahun ini kerana seminggu sebelum lebaran saya sudah keseorangan kerana beliau bekerja di luar kawasan selama beberapa minggu.

Pada bulan Ramadan ini, apabila saya mendengar lagu-lagu raya yang klasik dan lama, saya tidak menangis. Tetapi setiap dendangan lagu itu terus mengingatkan saya dengan memori sewaktu kecil di mana kami sekeluarga begitu gembira menyambut hari raya dengan mak dan bapa. Rindu terhadap mereka berdua begitu menebal sekali dan tidak akan berpenghujung.

Bersempena dengan Bulan Kesedaran Kesihatan Mental yang disambut pada bulan Mei setiap tahun, saya menyeru kepada anda agar mencari masa dan peluang dengan belajar apakah maknanya disebalik stigma mengenai kesihatan mental. Sentiasalah membuat pemerhatian di sekeliling kerana mungkin insan yang dekat dengan anda sedang mengalami masalah kesihatan mental.

Bulan Kesedaran Kesihatan Mental disambut pada bulan Mei setiap tahun.

Sekiranya ada pula di antara pembaca di sini yang memang sedang bergelut dengan kesihatan mental tetapi buntu, keliru, takut atau malu untuk meminta bantuan, saya merayu tolonglah langkah ke hadapan. Tolonglah sayangi diri anda.

It’s ok not to be ok. Semua orang mempunyai kesihatan mental tetapi bezanya tahap kesihatan mental seseorang itu berbeza antara satu sama lain. Jika anda sayangi kesihatan fizikal, maka berlaku adil juga dengan kesihatan mental. Ia juga perlu diambil perhatian. Kerana itulah di setiap penghujung video You Tube ruangan Shery NN Berbicara saya akan berikan pesanan supaya Be Kind To Your Mind.

Salam 30 Ramadan
Shery NN
1 May 2022
7:08 Malam

*Al Fatihah kepada kedua mak dan bapa saya*

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *