Tidak banyak hotel rangkaian besar di Havre, Montana. Mujurlah ada Best Western Plus Great Northern Inn kerana suami saya juga merupakan ahli bagi rangkaian hotel ini. Saya tidak mempunyai masalah atau aduan sepanjang penginapan sebaliknya banyak pujian yang ingin diberi. Hotel ini cukup serba serbinya termasuk keperluan asas di dalam bilik. Tempat meletakkan kenderaan tidak dikenakan bayaran dan sarapan pagi percuma turut dihidangkan.
Bahagian lobi agak kecil tetapi tetap cantik dengan hiasan dan pihak hotel turut menjual cenderamata, makanan serta minuman ringan. Mesin pencetak juga turut disediakan untuk kemudahan tetamu. Saya menyukai ruang makan hotel ini yang besar dan pilihan makanan serta minuman juga banyak. Ruang makan ini bersambung dengan kasino dan dapat juga melihat kolam renang yang besar melalui tingkap di situ.
Satu keistimewaan hotel ini yang mungkin sukar didapati dari hotel lain ialah, tetamu boleh melihat pelbagai barang-barangan lama yang bersejarah yang diletakkan di dalam almari yang panjang. Ia terletak di belakang bahagian lobi antara laluan ke kolam renang dan lif ke tingkat atas. Saya tidak rakam gambar tetapi saya rakamkan video yang boleh anda tonton di saluran You Tube Shery On The Move.