8 Jun 2022
Pemanduan hari ini juga boleh dikatakan agak singkat dan normal bagi saya dan suami. Jarak dari hotel di Jamestown, North Dakota menuju ke hotel penginapan di Bloomington, Minnesota ialah 642 kilometer. Tidak sampai sebulan kami melalui laluan dan lebuh raya yang sama tetapi dari arah bertentangan. Anda boleh rujuk dan lihat banyak gambar lain di dalam artikel di bawah ini.
Pemanduan Dari Minneapolis Ke Dickinson
https://sheryonthemove.com/?p=2455
Di sepanjang pemanduan ini kami hanya berhenti dua kali sahaja iaitu di Fargo untuk minum pagi di kafe kegemaran, dan di satu rest area untuk ke tandas. Saya kurang mengambil gambar pada pemanduan 8 Jun kerana laluan ini memang membosankan sama seperti pemanduan yang dibuat pada bulan sebelumnya dan ditambah pula dengan projek membaik pulih jalan raya di dalam lebuh raya.
Walaupun pemanduan agak bosan tetapi ada insiden menarik yang dapat kami lihat selepas keluar dari bandar Fargo. Kami melihat banyak kereta polis yang mengejar pesalah yang memandu trak/lori. Ia berlaku dari arah bertentangan dan suami saya nampak lebih jelas bagaimana polis dari kereta pertama yang menggunakan seperti perangkap untuk memancitkan tayar dan memberhentikan trak itu. Saya sempat rakamkan satu gambar sahaja (sila lihat gambar tiga dari atas yang dimuat naik di bawah ini), selebihnya akan saya kongsikan videonya di saluran You Tube Shery On The Move tidak lama lagi.
Sebaik sahaja tiba di hotel, kami mandi dan berehat sebentar sebelum pergi ke pusat membeli belah terbesar di Amerika Syarikat, iaitu Mall Of Amerika. Kami tidak luangkan masa terlalu lama tetapi cukup sekadar makan malam dan membeli sedikit barang keperluan. Anda dapat lihat hidangan makan malam di dalam gambar di bawah. Makanan yang dipilih ialah dari gerai yang menjual makanan Thai. Kami pulang ke hotel awal dan tidur awal kerana pemanduan hari seterusnya sangat panjang.