Skip to content

Merentasi 5 Negeri Dalam Satu Hari (Bahagian 1)

9 Jun 2022
Hari ke-4 merupakan pemanduan paling panjang dalam satu hari untuk kembara USA bulan Jun 2020. Pemanduan ini akan merentasi lima buah negeri iaitu Minnesota, Wisconsin, Illinois, Indiana dan Michigan. Jika mengikut jarak dari hotel di Minnesota sehingga ke hotel yang saya dan suami menginap di Michigan, jumlahnya ialah 1138 km.

Oleh kerana saya dan suami dapat tidur awal pada malam sebelumnya, maka kami dapat bangun awal dan memulakan pemanduan seawal yang boleh. Inilah kelebihan apabila hari siang yang panjang kerana kami dapat menunaikan sembahyang subuh yang awal dan bertolak pada jam 4:20 pagi.
Saya mula rakamkan gambar apabila hari sudah terang sesudah memasuki negeri Wisconsin.

Di negeri Wisconsin, kami telah berhenti di dua tempat menarik. Yang pertama ialah di hentian rehat di Black River Falls. Sila rujuk gambar nombor empat hingga lapan dari atas untuk dapatkan maklumat tambahan sewaktu saya rakamkan gambar di hentian rehat itu. Di dalam video ruangan Shery NN Berbicara yang ke-61, di saluran You Tube Shery On The Move, saya telah muat naik video lima hari pertama kembara ini. Anda juga boleh lihat saya rakamkan video tandas awam yang bersih di hentian rehat yang sama. Link video saya letakkan di bawah ini.
https://youtu.be/EiSe2aq_Xeg

Tempat menarik kedua ialah di DeForest di mana kami bergambar dengan gajah berwarna merah jambu. Kisah gajah ini bermula pada pertengahan tahun 1960an apabila pemilik stesen minyak meletakkannya bagi tujuan untuk mendapatkan perhatian dari pemandu yang lalu di persimpangan jalan raya ini. Di hadapan gajah ini telah diletakkan kotak yang di dalamnya terkandung beberapa hiasan untuk mengambil gambar. Salah satunya ialah kertas yang ditulis ‘I Love Wisconsin‘.

Selepas negeri Wisconsin, kami memasuki pula negeri Illinois. Tempat pertama yang dituju ialah Turtle Creek Welcome Center. Bangunan ini bukan sahaja menempatkan pusat khidmat pelancongan tetapi juga tandas awam dan tempat rehat di bahagian luar bangunan. Ingin saya ingatkan kepada anda bahawa terdapat banyak plaza tol elektronik di negeri Illinois. Pada hari tersebut kami menempuhi lima atau enam plaza tol sebelum kami memasuki ke negeri Indiana.

Pembayaran boleh dibuat secara online. Untuk memudahkan pembayaran, saya telah rakamkan video dan gambar setiap kali kami menempuhi plaza tol. Dari gambar itu, kami dapat rujuk nama plaza tol berserta tarikh dan waktunya sekali.

Sempadan darat antarabangsa Kanada dan Amerika Syarikat yang paling sibuk sekali ialah antara Windsor, Ontario dan Detroit, Michigan. Dianggarkan lebih kurang 10 000 buah trak/kenderaan berat yang menggunakan sempadan ini setiap hari. Ia belum lagi dikira kemasukan dari kennderaan ringan dan persendirian.

Melalui gambar empat paling bawah, anda dapat lihat kesesakan lebuh raya dari arah bertentangan. Hampir majoriti ialah trak yang saya pasti datang dari arah sempadan. Jarak antara lokasi gambar yang dirakamkan dan sempadan antarabangsa ialah lebih kurang 408 km. Cuba anda bayangkan, sesudah lebih dari 400 km dari sempadan, masih lagi kelihatan trak yang berderet dan tidak putus-putus!

Cerita mengenai kembara hari ke-4 masih belum berakhir. Saya akan siarkan artikel bahagian kedua tidak lama lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *