Artikel ini ialah bahagian kedua. Link saya letakkan di bawah ini untuk membaca keseluruhan cerita dari artikel bahagian pertama. https://sheryonthemove.com/?p=2812
Gambar satu dan dua dari atas dirakamkan di Portage manakala gambar ketiga pula di Michigan City, Indiana. Selepas itu baharu kami memasuki negeri Michigan dan terus ke pusat khidmat pelancongan berserta hentian rehat pertama bagi negeri itu yang terletak di New Buffalo.
Terdapat banyak maklumat yang boleh diperolehi di pusat khidmat pelancongan ini. Lebih menarik, para pelancong boleh mendapat beg plastik percuma untuk letakkan segala maklumat dan peta yang diambil. Beg plastik yang saya maksudkan bukan sebarang beg plastik kosong sebaliknya berkualiti bagus, tebal dan dicetakkan peta negeri Michigan di bahagian luar. Anda boleh lihat beg plastik itu melalui gambar di bawah.
Dari New Buffalo, pemanduan diteruskan ke Kalamazoo. Tujuan saya ingin ke Kalamazoo ialah kerana ingin melawat ke Western Michigan University. Ada apa denga universiti ini? Pada pertengah tahun 1980an, sepupu saya telah menyambung pelajaran di universiti yang sama. Saya merupakan sepupu paling bongsu di antara semua sepupu sebelah emak saya. Pada waktu itu pula saya baharu berumur 3-4 tahun dan menjadi kesayangan antara mereka.
Saya masih ingat beliau pernah mengirimkan pelbagai barangan dari Amerika contohnya pakaian untuk saya. Kini, apabila umur saya sudah hampir ke 41 tahun, saya akhirnya dapat jejakkan kaki melihat dari dekat universiti dan bandar tempat beliau menetap satu masa dahulu.
Dari Kalamazoo, pemanduan kami menuju ke destinasi terakhir untuk hari itu iaitu Detroit. Sebelum daftar masuk ke hotel, kami singgah dahulu untuk makan malam di sebuah restoran makanan segera halal yang berdekatan. Pemanduan akhirnya berakhir di hotel pada jam 10:00 malam. Jika dikira keseluruhan waktu pemanduan termasuk beberapa kali membuat persinggahan, ia dianggarkan hampir 18 jam.