Artikel ini bersambung dari yang sebelumnya. Ia mengenai pemanduan hari ke-6 kembara USA bulan Jun 2022. Pemanduan bermula dari Detroit ke Columbus. https://sheryonthemove.com/?p=3112
Kami tiba di Columbus pada waktu tengah hari dalam keadaan cuaca yang panas dan suhu yang tinggi. Tujuan utama datang ke Columbus ialah ingin bergambar di hadapan bangunan perundangan negeri. Itu sudah menjadi kewajipan kami setiap kali berada di mana-mana ibu negeri.
Tempat letak kereta tidak menjadi masalah kerana terdapat banyak di tepi jalan tetapi ia perlu dibayar. Oleh kerana hari Sabtu, maka pusat bandar dipenuhi ramai orang yang datang untuk membuat protest mengenai isu senjata api dan pengguguran.
Bangunan perundangan negeri Ohio nampaknya tidak mengagumkan saya. Saya memberi komen dan membuat perbandingan berdasarkan bangunan perundangan di negeri-negeri lain yang pernah saya lawati. Yang pertama saya perasan ialah bangunan tidak mempunyai kubah.
Yang kedua, walaupun terletak di dalam pusat bandar dan dikelilingi dengan bangunan tinggi, tetapi saya rasakan ia tidak mesra pengunjung. Kurang papan tanda membuatkan kami tercari-cari di mana pintu masuk utama. Kalau di negeri lain, bangunan perundangan negeri disebut State Capitol, tetapi yang memeranjatkan kami negeri ini dipanggil Ohio Statehouse.
Cuma satu yang boleh dipuji ialah, di dalam kawasan perkarangan terdapat banyak pokok besar dan tempat duduk. Dengan adanya banyak tempat duduk, ia sesuai bagi pelawat dan orang awam untuk datang berehat atau makan tengah hari ketika hari bekerja.
Sementelah berada di dalam pusat bandar, saya ambil kesempatan rakamkan gambar bangunan-bangunan lama. Anda boleh tonton video sewaktu saya berada di Columbus, Ohio melalui link You Tube yang saya letakkan di bawah.
https://youtu.be/aHrU7IVxLUQ