11 Jun 2022
Pemanduan bermula dari hotel Tru By Hilton Sterling Heights https://sheryonthemove.com/?p=2906
menuju Columbus, Ohio dengan jarak 357 kilometer. Columbus ialah ibu negeri bagi Ohio. Manakala jarak antara pusat bandar Detroit ke sempadan negeri Ohi ialah lebih kurang 50 minit sahaja.
Kami memandu menggunakan lebuh raya dan ada juga menggunakan jalan dalam yang menempuhi banyak perkampungan kecil. Saya sempat rakamkan gambar sebuah masjid besar yang terletak di tepi lebuh raya di negeri Ohio. Apabila mengembara berkereta, kami suka memandu mengikut jalan dalam kerana dapat melihat dengan lebih dekat cara kehidupan penduduk tempatan terutamanya masyarakat Amish di negeri Ohio.
Dua perenggan di bawah ini adalah petikan dari artikel dari laman blog lama saya yang ditulis sewaktu kembara berkereta pada tahun 2015.
Amish ialah kumpulan penganut agama Kristian tradisional dan konservatif. Cara kehidupan Amish adalah sederhana, memakai pakaian yang sopan tetapi tidak mengikut peredaran fesyen dan masih ramai antara mereka yang enggan menerima kemudahan serta teknologi moden pada zaman sekarang. Majoriti mereka memasak menggunakan hasil bercucuk tanam dan menternak haiwan dari rumah dan menggunakan kereta kuda sebagai pengangkutan seharian.
Saya kerap melihat kumpulan ini di mana sahaja di Amerika Syarikat. Walaupun cara kehidupan mereka agak kuno, tetapi mereka tidak pernah membenci atau memandang orang lain yang berbeza warna kulit, etnik dan agama sebagai pelik. Populasi paling tinggi bagi kumpulan Amish yang tinggal di Amerika Syarikat ialah di negeri Ohio. Salah satu perancangan saya dan suami adalah untuk menjelajah Ohio dan melawat perkampungan Amish ini.
Di dalam banyak gambar di bawah, anda boleh lihat rumah-rumah di perkampungan di Ohio yang kebanyakan dari mereka ialah Amish. Saya dapat melihat mereka sedang melakukan kerja-kerja di luar rumah tetapi tidak sempat rakamkan gambar. Di dalam satu gambar lain pula, anda boleh perhatikan mereka menyidai pakaian di luar rumah. Masyarakat Amish tidak menggunakan mesin basuh dan mesin pengering.