Peninju terkenal Muhammad Ali lahir pada 17 Januari 1942 serta dibesarkan di Louisville, Kentucky, Amerika Syarikat. Walaupun beliau meninggal dunia di negeri Arizona tetapi jenazahnya telah dibawa pulang dan dikebumikan di Louisville.
Sewaktu saya dan suami berada di Louisville pada hari ke-7 dan ke-8 kembara USA bulan Jun 2022, kami telah melawat ke beberapa tempat yang berkaitan dengan Muhammad Ali termasuk kubur beliau.
12 Jun 2022
Tempat pertama yang dituju ialah Muhammad Ali Center yang terletak di pusat bandar Louisville. Kami tidak dapat masuk ke dalam muzium ini kerana belum masuk lagi waktu lawatan. Selepas itu kami pergi ke jalan Muhammad Ali (Muhammad Ali Boulevard). Jalan ini agak sibuk kerana ia masih lagi terletak di dalam pusat bandar.
Tempat seterusnya ialah kami ke taman yang menempatkan arca (sculpture) sarung tangan tinju Muhammad Ali. Jarak taman ini dari pusat bandar dianggarkan kurang dari 10 minit pemanduan.
Tempat terakhir yang dilawati ialah kubur Muhammad Ali. Kubur beliau ditempatkandi dalam kawasan perkuburan Kristian. Untuk maklumat anda, adalah menjadi kebiasaan di negara barat apabila kubur umat Islam yang berkongsi dengan penganut agama lain. Selain Louisville, saya pernah beberapa kali ke perkuburan Kristian di Las Vegas untuk melawat saudara jauh saya yang disemadikan di sana. Selain arwah, terdapat beberapa lain kubur orang Islam di dalam perkarangan perkuburan itu.
Kubur Muhammad Ali terletak di tepi jalan dan batu nisannya sangat besar jadi tidak susah untuk dilihat sekiranya ingin mencari sewaktu memandu. Di dalam video yang saya letakkan link di bawah ini, anda dapat lihat suasana tenang di kawasan perkuburan yang saya lawati pada pagi hari Isnin. https://youtu.be/rrUdqS0phlo
Kawasan perkuburan di sini juga bersih dan di sekeliling kubur Muhammad Ali juga ditanam dengan pokok-pokok bunga. Sewaktu kedatangan saya, dapat dilihat dua orang pekebun sedang menyiram pokok-pokok di kawasan itu. Jangan lupa untuk tonton video yang saya berikan link di atas tadi.