Saya mula memberi kesedaran kesihatan mental di media sosial dan memakai riben hijau sejak dari tahun 2019 iaitu setelah saya mula mendapatkan rawatan dari pakar perubatan profesional. Tujuan utama saya dalam memberikan kesedaran ini ialah kerana kesedaran kesihatan mental masih kurang diberi pendedahan ditambah pula dengan halangan dari stigma.
Apa itu stigma? Stigma ialah diskriminasi, tanggapan negatif dan prejudis masyarakat terhadap mereka yang mengalami masalah kesihatan mental.
Masalah kesihatan mental datang tidak mengenal umur, etnik, agama, warna kulit atau agama seseorang. Sesiapa sahaja boleh mengalaminya. Setiap manusia (dan haiwan) yang dilahirkan dengan adanya otak dan akal fikiran, pasti akan mengalami masalah kesihatan mental cuma bezanya masalah yang dialami itu datangnya dari faktor dan punca yang berlainan dan bagaimana cara seseorang itu mengendalikannya. Jadi saya tidak faham mengapa masalah kesihatan mental dipandang hina oleh masyarakat?
Riben merah jambu melambangkan kesedaran kanser payudara. Apabila tibanya bulan Oktober, di mana-mana tempat awam atau di internet kelihatan warna merah jambu. Manakala bulan November pula diadakan Movember, iaitu bulan kesedaran bagi kanser prostat bagi kaum lelaki. Tetapi bagaimana pula dengan riben hijau? Bulan kesedaran kesihatan mental pula ialah pada bulan Mei setiap tahun. Walaupun kesedaran ini sudah lama diadakan tetapi ia kurang mendapat perhatian dan pendedahan terutamanya di negara-negara Asia. Secara peribadi, saya tidak memerlukan bulan kesedaran kerana saya memberikan kesedaran ini pada bila-bila masa sahaja sepanjang tahun. Saya bukanlah orang terkenal yang mampu untuk menyampaikan mesej dan suara kepada seluruh lapisan masyarakat. Buat masa ini cukup untuk saya berikan kesedaran kepada para pengikut saya di laman media sosial, penonton di saluran You Tube, sahabat handai dan juga keluarga.
Sekiranya anda berasa kesihatan mental terjejas, ingatlah, anda tidak keseorangan. Banyak tempat untuk mendapatkan bantuan. Berdiam diri bukan jalan penyelesaian. Andai anda sekadar ingin meluahkan perasaan tetapi malu untuk berkomunikasi dengan orang terdekat, saya sentiasa ada untuk mendengarnya.
Be Kind To Your Mind,
Shery NN