Skip to content

Wyoming Welcome Center

17 Jun 2022
Sepanjang 10 tahun saya melakukan kembara di negara ini, sudah terlalu banyak pusat pelancongan yang saya lawati. Di mana tempat yang baharu saya lawati, pasti ada di antaranya yang menarik perhatian saya. Sewaktu kembara USA (road trip) bulan Jun 2022, pusat pelancongan di negeri Kentucky merupakan yang paling unik pernah saya lawati. Anda boleh baca artikel dan melihat gambar-gambarnya melalui link di sini. https://sheryonthemove.com/?p=3535

Di dalam tempoh kembara yang sama iaitu satu minggu selepas negeri Kentucky, sekali lagi saya telah melawat ke pusat pelancongan yang saya letakkan sebagai terbaik setakat ini di antara negeri-negeri lain. Southeast Wyoming Welcom Center yang saya lawati terletak tidak jauh dari Cheyenne. Saya dan suami singgah di sini sewaktu pemanduan dari Denver, Colorado menuju ke Buffalo, Wyoming.

Seni bina bangunan adalah berkonsep moden. Di dalam bangunan terdapat tandas yang besar lagi bersih, tempat duduk untuk berehat, dan muzium yang sangat mengagumkan saya. Muzium ini memberikan 100% maklumat mengenai negeri Wyoming. Ia mempunyai banyak bahagian yang begitu senang untuk pelawat dapatkan maklumat sama ada ianya mengenai sejarah, alam sekitar serta hidupan liar, latar belakang kehidupan penduduk tempatan, dan banyak lagi.

Tarikan istimewa lain ialah pihak muzium mempamerkan replika besar rangka dinosaur. Ada satu lagi yang mengagumkan saya ialah keseluruhan bangunan ini dijana oleh kuasa solar. Di salah satu sudut memang ada diceritakan (gambar dan video) mengenai bagaimana kuasa solar ini dijalankan.

Di sebelah kiri meja pembantu khidmat pelancongan terdapat meja yang menyediakan minuman panas percuma dan di bawahnya diletakkan beberapa bentuk batu serta tulang dinosaur. Mana kala di sebelah kanan meja mereka terdapat beberapa peta, kata kunci wifi dan poster besar yang diberikan secara percuma kepada para pelawat. Poster itu memang sangat cantik.

Anda boleh tonton video ruangan Shery NN Berbicara yang ke-66 di mana saya telah kongsikan rakaman di pusat pelancongan ini. Anda juga dapat lihat dari dekat sewaktu saya menyentuh tulang dinasaur dan poster cantik yang saya ceritakan di atas tadi. Link video saya letakkan di bawah ini. https://youtu.be/Yar_gBmcEBw

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *