17 Jun 2022
Kembara USA (road trip) bulan Jun 2022 merupakan kedatangan kali kedua saya ke bandar Cheyenne. Kedatangan kali pertama ialah pada musim panas tahun 2012. Bandar ini merupakan ibu negeri bagi Wyoming. Pusat pelancongan yang terletak di dalam bangunan stesen kereta api lama harus dilawati. Di dalamnya turut menempatkan muzium dan kedai cenderamata. Pada kedatangan 10 tahun lalu, suami saya ada membeli cenderamata di kedai yang sama.
Negeri Wyoming merupakan salah satu negeri yang berkait rapat dengan koboi (cowboys). Maka kerana itulah di dalam pusat bandar banyak dapat dilihat replika kasut koboi (boots). Tempat wajib yang perlu saya dan suami lawati apabila berada di ibu negeri ialah bergambar di hadapan bangunan perundangan negeri. Walaupun kami pernah bergambar di hadapan bangunan sewaktu kedatangan pada kali pertama, tetapi kami tetap mahu bergambar untuk kali kedua.
Tempat meletak kenderaan awam terletak tidak jauh dari bangunan perundangan negeri. Kami tidak perlu berjalan jauh kerana banyak tempat kosong yang betul terletak di hadapan bangunan. Secara kebetulan kali pertama dan kali kedua kedatangan kami ke sini jatuh pada hujung minggu, jadi memang senang untuk meletakkan kenderaan.
Sebelum meninggalkan Cheyenne, kami memandu menuju ke Cheyenne Regional Airport. Agak memeranjatkan apabila melihat lapangan terbang ini kosong dan sudah terbiar. Ia tidak lagi seperti yang kami lihat dan melawat pada 10 tahun lalu. Apabila melihat notis dari dekat, baharu kami tahu yang lapangan terbang telah berpindah terminal di tempat lain.
Anda boleh melihat dengan lebih dekat pemandangan di dalam bangunan stesen kereta api dan bandar Cheyenne sekiranya anda tonton video You Tube ruangan Shery NN Berbicara yang ke-66. Saya turut kongsikan video seorang wanita tempatan yang memberhentikan kereta di tepi simpang hanya untuk memberi cadangan lawatan kepada kami. Link video saya letakkan di sini.
https://youtu.be/xtsrvffwQMY