Skip to content

Melawat Ke Ladang Bunga Matahari

Last updated on 16/11/2022

Selepas pulang dari kembara berkereta (road trip) USA bulan Ogos 2022, saya dan suami telah melawat ke ladang bunga matahari yang terletak tidak jauh dari rumah saya. Setiap tahun ladang ini mengadakan festival bunga matahari sementelah memang musimnya pada musim panas. Jangan terperanjat, ingin saya katakan di sini bahawa inilah pertama kali dalam hidup saya melawat ke bunga matahari. Beginilah ragam manusia, apabila sesuatu benda atau perkara menarik yang terletak ‘di depan mata’ sahaja, kita selalu tidak mengindahkannya.

Saya sangat berpuas hati datang ke ladang bunga matahari pada hari orang bekerja kerana tidak ramai orang dan cuacanya juga tersangat baik. Walaupun panas terik, tetapi awan yang membiru mencantikkan lagi gambar dan video yang dirakamkan. Tiket masuk ialah $10 setiap orang. Dari pondok membeli tiket, kami menaiki wagon untuk ke ladang besar. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 10 minit dan kami para pelawat telah dihiburkan dengan beberapa dendangan lagu dari penyanyi yang sudah berpuluh tahun menjadi penyanyi di ladang itu.

Ladang ini sangat besar dan dibahagikan kepada beberapa bahagian. Saya dan suami dapat pergi ke semua bahagian itu kecuali corn maze. Kaki saya sudah melecet dan tidak berdaya untuk berjalan di dalam corn maze yang sudah semestinya bersaiz besar juga. Salah satu gambar kegemaran saya sewaktu berada di ladang ialah apabila bergambar berhadapan bunga matahari dan di dalam waktu yang sama seekor lebah sedang terbang di atas saya.

Setiap pemegang tiket diberikan setongkol jagung percuma. Ia boleh diambil sebelum para pelawat menaiki wagon untuk pulang ke pintu masuk utama.
Penyanyi di wagon telah menyatakan bahawa beliau juga akan menyanyi di tempat yang sama dalam beberapa bulan lagi apabila tibanya musim labu pula. Jika musim bunga matahari dipanggil sunflower festival, musim labu pula dipanggil pumpkin patch. Saya ingin kembali ke sini dalam beberapa bulan lagi kerana keinginan untuk ke pumpkin patch telah saya rancang sejak dari tahun lalu. Tentunya ia bakal menerujakan kerana seumur hidup juga saya belum pernah ke pumpkin patch pada musim luruh.

Oleh kerana ini merupakan lawatan pertama saya ke ladang bunga matahari, maka saya telah rakamkan ratusan gambar dan video. Selain gambar-gambar yang saya kongsikan di dalam artikel ini, saya juga telah siarkan video penuh di dalam ruangan Shery NN Berbicara yang ke-73. Video itu boleh anda tonton di saluran You Tube Shery On The Move yang linknya saya letakkan di bawah ini.
https://youtu.be/xtsrvffwQMY

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *