Skip to content

Menyaksikan Konsert Backstreet Boys Kali Ketiga

24 Ogos 2022
Tidak ada lagi kata-kata yang ingin saya sampaikan melainkan perasaan gembira kerana berpeluang sekali lagi menyaksikan konsert kumpulan kegemaran saya iaitu Backstreet Boys di Vancouver, Kanada. Ini merupakan pengalaman kali ketiga menyaksikan konsert mereka. Pertama ialah pada tahun 2015 di Perth, Australia Barat, dan kedua pada tahun 2019 di Vancouver, Kanada. Sebenarnya konsert BSB DNA World Tour ini diadakan pada tahun 2020 tetapi terpaksa ditangguhkan beberapa kali akibat dari pandemik COVID-19.

Tiga tahun lalu saya datang menyaksikan konsert Backstreet Boys dengan memakai t-shirt mereka yang saya beli sewaktu saya masih belajar di sekolah menengah lagi iaitu pada tahun 1997 atau 1998. Bagi konsert tahun ini pula, saya beli t-shirt mereka yang berwarna merah jambu hanya beberapa bulan sebelum saya pergi ke konsert,

Sama seperti konsert yang saya pergi pada tiga tahun lalu. tahun ini juga saya telah membeli tiket yang berhadapan dengan pentas. Bezanya tiket pada kali ini saya bayar satu kali ganda mahal dari konsert sebelumnya. Pada awalnya saya melihat harga tiket yang diidamkan sama harga dengan tahun 2019, tetapi oleh kerana saya lewat sedikit membeli tiket itu (dua bulan sebelum konsert sudah dikira lewat), maka harga semakin naik.

Perbezaan kedua ialah pada tahun 2019 saya berdiri berhadapan pentas sebelah tangan kiri Backstreet Boys, manakala untuk tahun ini pula saya memilih untuk berdiri di sebelah kanan pula. Sebab utama saya memilih untuk tukar ke sebelah kanan tangan mereka ialah, saya tahu konsert, konsep tarian, pakaian serta kedudukan mereka berdiri sama seperti tahun 2019 kerana kedua-dua konsert ini ialah bertemakan DNA World Tour.

Konsert tahun 2019, Nick Carter (paling kegemaran saya) jarang datang ke sebelah kiri pentas dan saya juga kurang mengambil gambar beliau, jadi ini juga penyebab utama mengapa tahun ini saya memilih untuk berdiri di sebelah kanan pula. Nampaknya memang betul apa yang saya kehendaki kerana konsert kali ketiga ini, saya dapat rakamkan gambar dan video Nick Carter dengan lebih banyak lagi.

Kekurangan konsert yang saya hadiri pada tahun ini pula ialah jarak antara saya (dan peminat lain) dan pentas semakin jauh berbanding tiga tahun sebelumnya. Jika pada tahun 2019 ahli kumpulan boleh bersalaman dengan peminat, tetapi kali ini tidak boleh sama sekali.

Satu lagi kekurangan yang membuatkan saya berasa agak kecewa ialah pandangan saya sering dihalang oleh juru video dan pengawal keselamatan. Konsert yang saya hadiri pada tiga tahun lalu langsung tidak mendapat halangan dari juru video dan pengawal keselamatan. Pada tahun ini seorang pengawal keselamatan yang tinggi dan botak asyik ulang alik serata pentas sehingga merimaskan saya.

Pada konsert tahun 2019, seorang ahli kumpulan iaitu Kevin telah berhenti menari setelah ternampak saya memegang poster besar. Pada tahun ini pula saya rasa tersangat gembira kerana empat daripada lima ahli kumpulan Backstreet Boys telah ternampak poster yang saya pegang. Semestinya mereka terkejut dan turut memberikan isyarat tangan kepada saya. Kerana poster itu, saya dan mereka dapat bertentang mata! Yang sedihnya, Nick Carter (paling kegemaran saya) satu-satunya yang tidak melihat poster saya itu.

Di dalam gambar di bawah ini anda dapat lihat tiga kali/ tiga gambar Howie D melihat dan memberi isyarat tangan kepada saya. Di dalam video yang saya siarkan di saluran You Tube Shery On The Move, saya telah kongsikan dengan penonton keseluruhan video yang dirakamkan apabila empat dari ahli kumpulan melihat poster yang saya pegang. Sila tonton video ruangan Shery NN Berbicara ke-74 melalui link yang saya berikan di sini. https://youtu.be/CDZ8P0V9kOQ

Walaupun saya menyaksikan konsert berdiri di hadapan pentas tetapi kualiti dan sudut gambar yang diambil lebih baik dan pada tahun 2019 berbanding tahun ini akibat dari halangan dan jarak pentas yang saya ceritakan di atas tadi. Maka, anda boleh membaca artikel dan melihat gambar-gambar yang saya rakamkan pada konsert tahun 2019 di dalam laman blogspot lama saya. Link di bawah ini akan membawa anda terus ke artikel tersebut. https://sharery.blogspot.com/search?q=backstreet+boys

Selain itu juga, saya turut kongsikan video penuh konsert Backstreet Boys yang saya hadiri pada tahun 2019 di saluran You Tube Shery On The Move. Saya telah muat naik video itu pada tahun 2020 dan telah mendapat view yang banyak. Sila tonton melalui link ini. https://youtu.be/D_VCRqwYh6A

Sebelum mengakhiri bicara, saya ingin huraikan sedikit mengenai gambar paling bawah dan terakhir yang saya kongsikan di dalam artikel ini. Ia dirakamkan oleh seorang peminat Backstreet Boys yang duduk di bahagian atas arena. Saya ternampak gambar dan video beliau di Instagram lantas saya meminta kebenaran untuk menggunakan gambar beliau kerana di dalam video itu kelihatan saya yang berdiri di hadapan pentas. Saya telah lukiskan garisan kuning sebelah kanan gambar dan saya ada di dalam kotak kuning itu.

Jika dipanjangkan umur dan ada rezeki, saya akan pergi lagi ke konsert Backstreet Boys untuk kali ke-4 pula!

Photo courtesy of Miyakerisa (IG)
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *