Skip to content

San Francisco Ogos & September 2022

31 Ogos 2022
Artikel ini ialah mengenai kembara berkereta (road trip) USA bulan Ogos dan September 2022. Hari pertama bermula pada 31 Ogos. Sewaktu saya rakamkan gambar di dalam kereta sebelum keluar dari pintu apartmen, jam menunjukkan 1:59 pagi dan secara kebetulan ia waktu yang sama sewaktu kami memulakan pemanduan ke San Francisco pada kembara awal bulan Ogos iaitu 3 minggu sebelumnya. Anda boleh baca artikel mengenainya melalui link di bawah ini.
https://sheryonthemove.com/?p=4587

Sebaik sahaja memasuki sempadan antarabangsa, saya sudah rasakan badan dan tekak saya mempunyai tanda awal demam. Jadi di sepanjang pemanduan sehingga ke San Francisco, saya tidur sepanjang hari dan kalau bangun sekali pun hanya sekejap untuk makan ubat. Saya makan ubat setiap 4-5 jam sekali. Oleh itu saya tidak rakamkan banyak gambar sewaktu hari pertama pemanduan.

Jarak antara kedua buah bandar yang dikira dari rumah saya menuju ke hotel penginapan saya di San Francisco ialah 1,537 kilometer. Jika pemanduan dilakukan tanpa henti, ia mengambil masa lebih kurang 15 jam. Bagi pemanduan saya dan suami pula, kami melakukan beberapa persinggahan untuk mengisi minyak kereta, membeli minuman dan ke tandas. Maka jumlah masa pemanduan kami ialah hampir 18 jam.

1 September 2022
Hari kedua di San Francisco, saya dan suami telah makan pagi bersama Kak Elly iaitu pemilik Satay By The Bay SF. Kemudian kami pulang ke hotel kerana suami saya mempunyai urusan kerja. Sementara menunggu beliau melakukan tugasan di bilik hotel, saya telah pergi mengambil angin dan cuci mata duduk di tepi laut (seberang jalan dari hotel) dan melihat kapal terbang yang berlepas dan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa San Francisco.

Pada sebelah awal petang pula kami telah pergi makan satay di food truck Satay By The Bay SF yang terletak tidak jauh dari Golden Gate Bridge. Kami dapat makan serta bergambar sambil makan satay yang berlatar belakangkan jambatan terkenal itu. Kebetulan pada hari itu ialah hari cuti Kak Elly, maka beliau turut sama menemani kami makan bersama.

Tidak kira siang atau malam, bandar San Francisco sering diselubungi dengan kabus tebal. Nasib menyebelahi kami kerana pada waktu tengah hari, cuaca sangat bagus, langit cerah dan terang benderang tanpa awan. Apabila kami hampir mengundurkan diri untuk pulang, baharu kabus tebal sudah menyelubungi Golden Gate Bridge. Saya ada rakamkan tiga gambar pemandangan sewaktu kabus tebal sudah mulai masuk.

2 September 2022
Hari ini saya, suami dan Kak Elly telah pergi ke San Jose dan makan tengah hari di sana bersama David (suami Kak Elly). David pergi berasingan kerana beliau perlu pergi melakukan servis motosikal. Jarak pemanduan dari Lapangan Terbang Antarabangsa San Francisco ke pusat bandar San Jose ialah 58 kilometer.

Pada sebelah petang, selepas Suraya (anak Kak Elly) pulang dari sekolah kami telah pergi ke San Mateo untuk makan lewat petang di restoran Jepun dan selepas itu singgah pula ke kedai manisan. Anda boleh tonton video yang saya rakamkan sewaktu kami berada di San Manteo melalui link ini.
Taki Nori Hand-Roll Bar https://youtu.be/2tzjUNKDJSc
Sweet Moments https://youtu.be/ipdB9jaMmKU

3 September 2022
Hari keempat kembara ialah pemanduan dari San Francisco menuju ke Las Vegas. Pemanduan ini ialah sama seperti yang kami lakukan pada satu bulan sebelumnya. Bezanya ialah kami bertolak lebih awal berbanding bulan lalu iaitu sebelum jam 5:00 pagi. Jarak pemanduan antara hotel di San Francisco dan hotel di Las Vegas ialah 888 kilometer.

Satu kesukaan saya apabila melakukan kembara berkereta ialah saya dapat melihat pemandangan indah matahari naik dan terbenam terutamanya di kawasan pedalaman, padang pasir dan pergunungan. Di bawah ini saya kongsikan dengan anda gambar-gambar yang dirakamkan sewaktu matahari mulai naik. Gambar keindahan seperti ini tidak perlu untuk saya mengubah suai (edit) atau menukar filter.

Apabila hari semakin naik ke tengah hari dan petang, suhu juga mulai naik. Di dalam pemanduan itu kami melihat suhu sudah menunjukkan 46 darjah Celsius. Tidak banyak persinggahan yang kami buat kecuali dua kali mengisi minyak kereta dan satu kali berhenti untuk membeli minuman. Maka kami selamat sampai di Las Vegas pada awal petang.

Selepas daftar masuk hotel, kami sempat lagi berehat dan tidur sebelum keluar untuk makan malam. Artikel mengenai Las Vegas akan disiarkan selepas dari artikel ini. Anda juga boleh tonton video penuh kembara ini bulan Ogos dan September ini di dalam video ruangan Shery NN Berbicara ke-75 melalui link ini. https://youtu.be/4dU_9VxNVd0

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *