Pada pagi 11 Oktober yang lalu, tidur dan lamunan mimpi saya terhenti kerana saya menerima panggilan intercom dari pintu luar apartment. Pemuda itu mengatakan beliau ingin membuat penghantaran dari UPS. Terdetik juga di fikiran, yang saya tidak menunggu sebarang penerimaan dari UPS tetapi saya membenarkan beliau masuk dan letakkan barang itu di lobi berhadapan dengan peti surat. Saya ingin menyambung tidur tetapi mata sudah tidak boleh lelap. Justeru, saya pun mandi dan ingin keluar turun ke bawah untuk mengambil barang tersebut tetapi yang memeranjatkan ialah pemuda itu dengan baik hati meletakkan kotak di hadapan pintu saya.
Memang betul nama saya yang tertera di luar kotak itu. Pada awalnya saya menyangka mungkin suami saya memberikan kejutan sempena hari ulang tahun perkahwinan. Kemudian saya terfikir ia adalah mustahil kerana suami saya tidak pandai membuat kejutan sebegitu malah beliau sekarang sibuk bekerja di luar kawasan. Kemudian saya ada terfikir seseorang dari Ottawa kerana beliau pernah menghantar kejutan hadiah hari jadi saya pada tahun lalu, tetapi sekali lagi saya menyangkal tekaan itu kerana saya tidak menyambut apa-apa hari istimewa pada bulan Oktober.
Hati berdebar-debar ingin tahu apakah barang yang ada di dalam kotak ini yang telah dilekatkan dengan amaran ‘fragile’ dan di dalam waktu yang sama saya rakamkan video kerana saya ingin lihat sendiri reaksi spontan saya. Kemudian saya melihat ia adalah barangan yang dibeli atau ditempah dari ETSY. Saya merupakan pelanggan setia ETSY tetapi saya tidak membeli apa-apa barangan pada waktu itu.
Ini merupakan satu kejutan dan paling tidak disangkakan! Saya menerima papan tanda ukiran yang ditulis Shery On The Move.
Video unboxing/pembukaan kotak hadiah telah disiarkan di saluran You Tube Shery On The Move. Selamat menonton! 🙂 https://youtu.be/YfGcl46LQ7I